
LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi dikatakan diberikan tempoh selama dua bulan bagi menyelamatkan kariernya dengan mula mencatatkan keputusan-keputusan yang lebih baik.
Tempoh cabaran itu akan bermula sebaik sahaja Spurs melayan kunjungan Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur malam ini.
Tekanan juga semakin memuncak buat pengendali dari Itali itu apabila mereka sudah pun tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) selepas tewas 1-3 kepada Liverpool di pusingan ketiga.
Bekas pemain tengah Spurs, Danny Murphy masih menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan De Zerbi bagi mengubah nasib pasukan itu yang semakin menghampiri zon penyingkiran Liga Perdana.
“Saya masih percaya mereka akan kembali mendaki kedudukan liga, mungkin berada dalam kelompok pertengahan. Secara jujur, saya sangat terkejut dengan permulaan mereka yang sangat buruk musim ini.
“Mungkin kemasukan ramai pemain baharu turut menjadi punca kepada situasi sekarang kerana mereka belum serasi. Ada antara mereka masih bermain dalam keadaan teragak-agak dan kurang yakin,” katanya.
Setakat ini, Spurs masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam saingan Liga Perdana apabila sekadar mencatat dua keputusan seri selain dua kali tewas untuk berada di tangga ke-17 dengan dua mata. – AGENSI
The post EPL: De Zerbi hanya ada dua bulan appeared first on Kosmo Online.






