
LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Roberto De Zerbi mengakui pasukan kendaliannya berdepan masalah kecergasan fizikal dan keyakinan, namun kekal yakin mereka mampu mengatasi permulaan perlahan musim ini.
Keputusan seri 0-0 menentang Everton kelmarin menyaksikan Tottenham meneruskan kemarau kemenangan dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa menjaringkan sebarang gol pada permulaan kempen musim ini.
Ini berlaku selepas kelab tersebut membelanjakan hampir £400 juta (RM2.2 bilion) dalam jendela perpindahan pemain musim panas.
“Saya rasa kami bermain dengan sangat baik dalam 30 minit pertama. Kemudian mungkin kami kehilangan tenaga kerana tahap kecergasan fizikal kami belum berada pada tahap terbaik dan kami sedang berusaha untuk memperbaikinya.
“Kami tidak melakukan percubaan yang sepadan dengan kualiti permainan yang kami tunjukkan. Kami perlu lebih banyak melakukan percubaan tepat ke arah gol. Kami juga perlu bekerja dan menganalisis aspek membuat keputusan kerana kami membuat terlalu banyak keputusan yang salah.
“Saya bukan positif atau negatif, saya realistik. Jika anda boleh bermain seperti ini selama 30 minit, itu bermakna anda mampu bermain bola sepak. Kami perlu melanjutkannya kepada 90 minit dan kemudian kekal lebih fokus dalam 25 minit terakhir,” katanya.
De Zerbi turut merujuk kepada keadaan kelab ketika beliau mengambil alih pada penghujung Mac ketika Tottenham berada di ambang penyingkiran selepas tempoh 44 hari yang mengecewakan di bawah kendalian Igor Tudor.
“Saya minta maaf atas keputusan yang kami peroleh, tetapi perkara seperti ini tidak berlaku serta-merta. Peningkatan tidak berlaku serta-merta. Untuk membentuk sebuah pasukan juga memerlukan masa,” katanya. – AGENSI
The post EPL: Spurs belum temui nikmat kemenangan appeared first on Kosmo Online.



