
LONDON – Pengurus Chelsea, Xabi Alonso mengakui dirinya kini sedang berada dalam situasi penuh tekanan bagi melunaskan harapan dan jangkaan daripada peminat.
Bermula dengan aksi menentang Bournemouth, malam ini, Alonso menjelaskan masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan sekali gus memperbaiki prestasi pasukan dalam perlawanan terdahulu.
Selepas memulakan kempen musim ini dengan cukup baik ketika menentang Fulham, Luton Town dan Brighton, kualiti The Blues mula merosot hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminatnya.
“Saya ada keyakinan yang kami akan bertambah baik, namun ketika ini, ia masih belum cukup bagus. Kami memiliki beberapa perkara positif dan perkara yang boleh diperbetul untuk menjadikannya lebih baik.
“Tidak hanya soal keputusan, tetapi juga tentang bagaimana kami melepaskan jaringan-jaringan. Ini yang harus kami perbaiki, namun bukan mengenai cara kami bertahan sahaja, ia juga mengenai serangan dan bagaimana semua pemain membantu barisan pertahanan.
“Banyak perkara yang masih berada dalam proses untuk lebih baik. Pastinya untuk menjadi lebih konsisten, akan ada perkara positif dan negatif,” katanya.
Selain untuk mendapatkan tiga mata berharga, misi utama Alonso kini pastinya menjurus untuk menamatkan perlawanan liga tanpa bolos buat kali pertama apabila The Blues hanya mampu melakukannya sekali ketika bertemu Luton Town pada aksi Piala Liga Inggeris, Ogos lalu. – AGENSI
The post EPL: Jangkaan peminat resahkan Alonso appeared first on Kosmo Online.


