EPL: Kulusevski kembali selepas 500 hari

Football
10 Oct 2026 • 9:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: EPL: Kulusevski kembali selepas 500 hari

LONDON – Tottenham Hotspur menerima suntikan moral apabila Dejan Kulusevski kembali beraksi dalam perlawanan latihan selepas lebih 500 hari diketepikan akibat kecederaan lutut yang memerlukan dua pembedahan.

Pemain sayap Sweden itu tidak beraksi bersama kelab mahupun negaranya sejak Mei 2025 selepas mengalami kecederaan serius pada tempurung lutut, sekali gus melalui tempoh pemulihan panjang yang mencecah kira-kira 17 bulan.

Menurut laporan, Kulusevski menyertai pasukan yang dibarisi pemain utama Spurs untuk menentang skuad gabungan pemain bawah 21 dan bawah 18 tahun minggu lalu, namun jumlah minit permainannya serta impak dalam perlawanan itu tidak diketahui.

Perkembangan tersebut membuka laluan kepada pemain berusia 26 tahun itu untuk meningkatkan kecergasan sebelum kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif, termasuk peluang membuat penampilan pertama di bawah kendalian Roberto De Zerbi.

Bagaimanapun, Spurs masih belum menetapkan tarikh kepulangan Kulusevski ke skuad perlawanan kerana perkembangan pemulihannya terus dipantau dengan teliti oleh jabatan perubatan kelab yang kini menggunakan pendekatan lebih berhati-hati.

Langkah itu penting buat Spurs yang berdepan krisis kecederaan dalam dua musim lalu, malah beberapa pemain pertahanan termasuk Micky Van De Ven, Jan Paul Van Hecke dan Pedro Porro dilapor berdepan isu kecederaan ketika aksi bersama pasukan kebangsaan masing-masing.

Kepulangan Kulusevski amat dinantikan ketika Tottenham menghuni tangga tercorot Liga Perdana Inggeris dengan hanya mengutip dua mata dan menjaringkan dua gol selepas lima perlawanan, meskipun membelanjakan lebih £300 juta (RM1.62 bilion) untuk memperkuatkan skuad pada jendela perpindahan musim panas. – AGENSI

The post EPL: Kulusevski kembali selepas 500 hari appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved