
PETALING JAYA – Penutupan sekolah susulan keadaan jerebu, hari ini menyaksikan ibu bapa kembali ‘memegang watak’ sebagai guru apabila anak-anak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Gelagat ibu bapa menemani, memantau malah turut sama melakukan aktiviti pembelajaran bersama anak masing-masing mencuri perhatian selepas dikongsikan di media sosial sejak awal pagi.
Seorang ibu menerusi Threads, @iffahsafwahrosli berkongsi video dirinya bersama anak yang lengkap berpakaian seragam sekolah ketika mengikuti kelas Pendidikan Jasmani (PJ) dari ruang tamu rumah.
“Pertama kali jadi cikgu PJ. Gementar sikit. Mak-mak yang lain jadi cikgu apa pagi ni?” tulisnya secara berseloroh.
Perkongsian itu kemudian mengundang ibu bapa lain berkongsi pengalaman masing-masing mengendalikan ‘kelas’ di rumah selepas sekolah ditutup berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berada pada tahap tidak sihat di beberapa kawasan.
Seorang pengguna, @syahirahhazizz__ pula memuat naik gambar anaknya mengikuti sesi bimbingan membaca menerusi komputer riba.
“Saya cikgu membaca. Nasib bukan matematik,” katanya berseloroh.
Tidak kurang mencuit hati apabila seorang lagi ibu berkongsi keadaan anaknya yang baru melalui satu mata pelajaran namun sudah mula hilang fokus.
“Baru satu subjek, hampir jadi harimau dah tadi,” tulis @seketulcicimochi sambil memuat naik gambar anaknya berada di hadapan buku sekolah dan telefon bimbit.
Sementara itu, pengguna @aiaijur_ pula berkongsi persiapan anaknya yang sudah memulakan sesi PdPR seawal pukul 7.40 pagi dengan guru turut memasuki Google Meet tepat pada waktunya.
“Dahsyat sekolah anak aku, 7.40 dah start PdPR. Cikgu pun on time masuk GMeet. Dengan mak-mak tak boleh tarik selimut,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengumumkan semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup hari ini susulan keadaan jerebu.
Penutupan turut melibatkan sekolah di daerah Rompin, Pahang.
Sebelum itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan semua institusi pendidikan di bawah kementerian yang berada di kawasan mencatatkan IPU melebihi 180 perlu ditutup. – KOSMO! ONLINE
The post Gelagat ibu bapa jadi ‘cikgu’ bantu anak PdPR appeared first on Kosmo Online.






