
LIVERPOOL – Hajat Brighton untuk meraih kemenangan kelima berturut-turut di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Liverpool di Anfield, sebentar tadi.
Bagaimanapun, keputusan itu langsung tidak menggambarkan situasi sebenar perlawanan yang menyaksikan The Seagulls memiliki peratusan penguasaan lebih besar berbanding tuan rumah.
Dominasi tersebut membuktikan Brighton memiliki kemampuan untuk mencabar kelab elit lain di kelompok atasan liga.
Tiga mata kali ini menjadi detik penting buat The Reds untuk mengekalkan kedudukan dalam senarai lima teratas dan ini juga adalah kemenangan keempat berturut-turut dicatatkan oleh anak buah Andoni Iraola.
Terdahulu, Brighton terpaksa melakukan pertukaran awal pada minit keenam dengan mengeluarkan Ferdi Kadioglu yang mengalami kecederaan dan digantikan oleh Costinha.
Liverpool kemudian membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi gol sendiri Pascal Gross, sekali gus memberikan kelebihan kepada tuan rumah.
Selang empat minit selepas itu Liverpool makin selesa apabila memperoleh jaringan kedua menerusi Alexander Isak.
Walaupun memiliki peratusan penguasaan lebih baik, Brighton hanya mampu untuk melakukan satu percubaan tepat dan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Brighton terus mengekalkan dominasi di babak kedua, berbanding Liverpool yang sering berpaksikan kepada serangan balas pantas.
Kedua-dua pasukan terus menyajikan aksi menarik namun tiada tambahan jaringan mampu dihasilkan. – AGENSI
The post EPL: Liverpool ajar Brighton cara jaringkan gol appeared first on Kosmo Online.




