
LIVERPOOL – Liverpool masih bergelut untul menemui rentak terbaik di bawah kendalian Andoni Iraola apabila sekadar seri 2-2 dengan Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield, sebentar tadi.
The Reds terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum pemain baharu, Victor Munoz muncul penyelamat menerusi jaringan lewat untuk memastikan sekurang-kurangnya satu mata buat tuan rumah.
Forest terlebih dahulu mengejutkan Liverpool pada minit ke-24 menerusi penyudah Dan Ndoye hasil serangan balas pantas yang dimulakan hantaran jauh penjaga gol Matz Sels.
Liverpool menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Florian Wirtz pada babak pertama, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati Jeremie Frimpong berada dalam kedudukan ofsaid.
Penyokong tuan rumah menarik nafas lega apabila menemui gol penyamaan pada minit ke-60 menerusi Alexander Isak yang menyudahkan hantaran Cody Gakpo.
Namun, Forest kembali di depan 10 minit kemudian apabila Morgan Gibbs-White menyempurnakan sepakan penalti selepas Alisson menjatuhkan Neco Williams dalam kawasan penalti.
Ketika Forest hampir membawa pulang tiga mata dari Anfield, Munoz selamatkan maruah Liverpool menerusi jaringan menarik dari luar kotak pada minit ke-82.
Keputusan seri itu menyaksikan Liverpool hanya mengumpul dua mata daripada dua perlawanan liga dibawah kendalian Iraola yang dilantik menggantikan posisi Arne Slot, Jun lepas. – AGENSI
The post EPL: Liverpool hampir selisih aib appeared first on Kosmo Digital.


