
LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Andoni Iraola memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak memandang rendah keupayaan Nottingham Forest menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam ini.
Selepas sekadar seri 2-2 ketika bertemu Leeds United pada aksi pembukaan Liga Perdana minggu lalu, The Reds terdesak untuk memburu tiga mata pertama, lebih-lebih lagi itu merupakan penampilan sulung Iraola di Anfield.
Iraola berkata, beliau tahu kemampuan dimiliki Forest selain percaya kredibiliti yang ada pada pengendali pasukan itu, Oliver Glasner dijangka mampu meletakkan Liverpool dalam keadaan sukar.
“Beliau (Glasner) merupakan seorang pengurus yang hebat dan anda semua boleh lihat corak permainan Forest sekarang. Kami tidak boleh mensia-siakan setiap peluang untuk menjaringkan gol ketika bertemu mereka.
“Perlawanan itu sangat istimewa kerana ia akan menjadi penampilan pertama saya di Anfield. Memang kami pernah bermain ketika pramusim tetapi auranya agak berbeza dengan perlawanan sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap skuad kendaliannya akan lebih tenang serta kebal di benteng pertahanan selepas menyaksikan The Reds mudah ditembusi ketika bertemu Leeds sebelum ini.
“Memang benar serangan sangat penting tetapi saya tidak mahu mengambil risiko di bahagian pertahanan. Adalah lebih baik untuk mencari keseimbangan di setiap bahagian, jadi saya harapkan kerja keras daripada semua pemain,” ujar Iraola. – AGENSI
The post EPL: Liverpool buru kemenangan sulung appeared first on Kosmo Digital.




