
MANCHESTER – Pengrusan Manchester United perlu membayar pampasan sehingga £15 juta (RM83 juta) jika mahu membawa pengurus Brighton, Fabian Hurzeler ke Old Trafford pada musim ini.
Sebagai rekod, nama Hurzeler mula dikaitkan dengan kerusi panas di United susulan permulaan hambar The Red Devils apabila hanya mengutip lima mata daripada lima aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.
Bagaimanapun, pengendali United, Michael Carrick masih diberi masa oleh pengurusan United meskipun tekanan daripada sebahagian penyokong semakin meningkat.
Menurut laporan media tempatan, Brighton bersedia melepaskan Hurzeler sekiranya menerima bayaran pampasan sekitar £10 juta hingga £15 juta.
Hurzeler yang baru berusia 34 tahun mula mencuri perhatian sejak mengambil alih Brighton pada 2024 dan berjaya membentuk pasukan yang agresif serta tidak takut memberi tekanan ke atas lawan.
Pendekatan itu jelas ketika Brighton mudah menewaskan juara bertahan, Arsenal 3-0 minggu lalu apabila pemain The Gunners berdepan kesukaran untuk membina serangan akibat tekanan tinggi skuad tuan rumah.
Malah, The Seagulls kini menjadi pasukan paling produktif dalam EPL dengan 16 gol setakat ini, selain mengumpul 10 mata daripada lima perlawanan.
Namun, United dijangka tidak tergesa-gesa membuat perubahan di bangku simpanan memandangkan baru memberikan kontrak tetap kepada Carrick pada Mei lepas. – AGENSI
The post EPL: Man. United perlukan RM83 juta appeared first on Kosmo Online.






