
LONDON – Arsenal menerima khabar positif menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Nottingham Forest malam ini apabila pemain tengah, Martin Zubimendi dijangka kembali memperkuatkan pasukan selepas diketepikan akibat kecederaan.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengesahkan, keadaan Zubimendi semakin baik selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan minggu lalu sehingga menyebabkan dia terlepas aksi menentang Lille Rabu lalu.
“Zubimendi kelihatan jauh lebih baik dan keadaannya juga semakin pulih hari ini. Kami mempunyai satu lagi sesi latihan sebelum menilai sama ada dia boleh diturunkan menentang Forest ataupun tidak,” kata Arteta.
Bagaimanapun, Arsenal masih belum dapat menurunkan tiga lagi pemain yang mengalami kecederaan, meskipun perkembangan pemulihan mereka turut menunjukkan petanda positif, termasuk pemain pertahanan, Piero Hincapie.
“Piero (Hincapie) menunjukkan perkembangan yang sangat baik. Melihat kepada karakter dan kesungguhannya, saya yakin dia tidak akan mengambil masa terlalu lama, tetapi mungkin memerlukan satu atau dua minggu lagi,” ujarnya.
Sementara itu, Christos Tzolis juga menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani satu lagi pemeriksaan bagi menilai tahap pemulihannya, dengan Arteta menjangkakan pemain itu boleh kembali dalam beberapa minggu lagi.
Bagi William Saliba pula, pemain pertahanan itu sudah kembali menjalani latihan di padang dan dijadualkan menjalani pemeriksaan MRI sekali lagi minggu depan bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar. – AGENSI
The post EPL: The Gunners lega pemain mula cergas appeared first on Kosmo Online.





