
MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Michael Carrick menyifatkan pasukannya ‘dirompak’ oleh pengadil susulan kekalahan 0-1 kepada seteru, Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Menurut Carrick, keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) membenarkan gol kemenangan Erling Haaland itu sebagai mengecewakan kerana jelas penyerang antarabangsa Norway itu dalam kedudukan ofsaid.
Kontroversi tercetus apabila Enzo Fernandez berada dalam posisi ofsaid ketika cuba menanduk bola sebelum sampai kepada Haaland, namun pemain Argentina itu dianggap tidak mengganggu permainan.
“Saya tidak faham bagaimana pegawai perlawanan boleh memutuskan gol tersebut sah. Ia membimbangkan jika begitulah cara permainan ini dilihat oleh mereka yang mengadili perlawanan.
“Cuma, saya tidak mahu terlalu kecewa dan fokus untuk membantu pasukan kembali berada di landasan kemenangan pada aksi selepas ini,” katanya.
Sementara itu, badan yang mengawal pengadil di EPL, Pro Ref mengakui berlaku kesilapan dalam membuat keputusan mengenai situasi berkenaan dan semakan akan dijalankan selepas gol kemenangan Haaland itu dibenarkan.
Penjaga garisan pada mulanya mengangkat bendera untuk membatalkan gol tersebut, namun pegawai VAR mengarahkan pengadil, Michael Oliver untuk mengesahkan gol tersebut.
Pro Ref yang sebelum ini dikenali sebagai PGMOL mengakui bahawa VAR gagal mengenal pasti kemungkinan pengaruh kedudukan Fernandez terhadap permainan dan sepatutnya mengesyorkan supaya Oliver melakukan semakan di monitor di tepi padang. – AGENSI
The post EPL: United dakwa ‘dirompak’ pengadil appeared first on Kosmo Online.



