Eppendorf labur RM180 juta bina kilang pertama Asia Tenggara di Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 2:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eppendorf labur RM180 juta bina kilang pertama Asia Tenggara di Pulau Pinang Image from: Eppendorf labur RM180 juta bina kilang pertama Asia Tenggara di Pulau Pinang liza29/07/2026 - 14:41 Bandar Cassia, Batu Kawan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai – Syarikat sains hayat dari Jerman, Eppendorf SE memilih Pulau Pinang sebagai lokasi kilang pembuatan pertamanya di Asia Tenggara menerusi pelaburan bernilai RM180 juta.

 

Langkah itu dimeterai menerusi perjanjian pajakan dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi membangunkan kilang baharu di Taman Teknologi Bandar Cassia yang dijadual memulakan operasi pada 2028.

 

Kilang berkenaan akan mengeluarkan beberapa produk daripada portfolio instrumen makmal Eppendorf, termasuk mesin untuk mengasingkan sampel (centrifuges), pengadun dan mesin pengitar haba bagi memenuhi permintaan pelanggan di rantau ini serta pasaran global.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pelaburan itu mencerminkan keyakinan syarikat bertaraf dunia terhadap ekosistem perindustrian negeri itu, di samping menambah keupayaan Pulau Pinang dalam sektor peralatan saintifik dan makmal berteknologi tinggi.

 

Menurut beliau, pelaburan tersebut turut menyokong hasrat negeri untuk memperluaskan pembangunan industri pembuatan berteknologi tinggi, penjagaan kesihatan dan sains hayat yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.


Pulau Pinang Terus Tarik Pelaburan Bernilai Tinggi

Chow berkata, antara 2021 hingga suku pertama 2026, Pulau Pinang memperoleh pelaburan pembuatan yang diluluskan bernilai RM2.3 bilion dalam sektor peralatan saintifik dan makmal, mewakili hampir 20 peratus daripada keseluruhan pelaburan Malaysia bagi sektor berkenaan.

 

Beliau berkata, sebanyak 40 projek yang diluluskan dalam tempoh itu dijangka mewujudkan hampir 4,500 peluang pekerjaan sekali gus memperluaskan peluang kerjaya kepada tenaga kerja tempatan.

 

Pada masa sama, katanya, Pulau Pinang kekal sebagai negeri pengeksport terbesar negara pada 2025 dengan nilai eksport mencecah RM611 bilion atau 38 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

 

“Pelaburan seperti yang dibawa Eppendorf akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan penyertaan dalam rantaian bekalan industri berteknologi tinggi,” katanya.

 

Kerjasama Dengan Syarikat Tempatan

Sehubungan itu, Chow menggalakkan Eppendorf bekerjasama dengan syarikat tempatan menerusi Penang ATE Campus dalam pembangunan teknologi, meningkatkan penggunaan kepakaran, komponen dan pembekal tempatan serta mengukuhkan rantaian bekalan bagi mewujudkan keupayaan industri yang lebih mampan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eppendorf, Dr Christine Munz berkata, projek di Pulau Pinang merupakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan antarabangsa syarikat yang telah bertapak di Malaysia sejak membuka hab serantaunya di Kuala Lumpur pada 1995.

 

Beliau berkata, kilang baharu itu akan melengkapkan rangkaian pembuatan global Eppendorf dengan mewujudkan pangkalan pengeluaran di Asia Tenggara bagi beberapa instrumen makmal terpilih.

 

“Kilang tersebut dijangka menggaji kira-kira 130 pekerja menjelang penghujung 2029, dengan syarikat turut merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran secara berperingkat selaras dengan peningkatan permintaan,” katanya.  - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved