
Tim Cook secara rasmi mengumumkan pengunduran dirinya selepas lebih sedekad memimpin Apple. Sepanjang 15 tahun kepimpinannya, beliau meninggalkan legasi kepimpinan yang sinonim dengan inovasi, strategi pengurusan berkesan serta pencapaian yang mengukuhkan kedudukan Apple sebagai peneraju industri teknologi dunia.

Dalam ciapan pada hari terakhirnya sebagai CEO, Tim Cook menyampaikan ucapan penuh penghargaan kepada komuniti Apple dengan menekankan bahawa hubungan beliau dengan komuniti itu akan kekal meskipun jawatan rasminya berakhir. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan sepanjang penglibatannya bersama syarikat tersebut, sambil menegaskan bahawa walaupun tidak lagi memegang jawatan CEO, beliau akan terus bersama Apple dalam kapasiti baharu.

Ciapan yang menerima lebih 24 ribu ulang siar, 235 tanda suka dan lebih 7 ribu komen itu memperlihatkan pelbagai reaksi daripada pengguna, dengan majoriti komen menekankan pengaruh besar Tim Cook dalam membentuk hala tuju Apple sepanjang kepimpinannya. Bermula 1 September, jawatan CEO Apple kini secara rasmi disandang oleh John Ternus, sekali gus menandakan permulaan era baharu kepimpinan bagi syarikat teknologi terkemuka itu.

Tim Cook dilantik sebagai CEO Apple pada Ogos 2011 untuk menggantikan pengasas bersama syarikat itu iaitu Steve Jobs. Sepanjang kepimpinannya, Apple berkembang pesat dengan produk seperti Apple Watch dan AirPods menjadi sebahagian penting daripada portfolio syarikat. Selain itu, Apple mencapai nilai pasaran bersejarah serta memberi tumpuan kepada privasi pengguna, kelestarian alam sekitar dan kepelbagaian rantaian bekalan global.


