Selepas 15 Tahun, Tim Cook Berundur Sebagai CEO Apple

TechnologyBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 9:40 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Selepas 15 Tahun, Tim Cook Berundur Sebagai CEO Apple

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook, mengucapkan selamat tinggal kepada jawatan itu pada Isnin selepas 15 tahun menerajui syarikat berkenaan.

Ketika hari terakhirnya, beliau turut memberi penghormatan kepada pengasas Apple, Steve Jobs dan memuji para pekerja sebagai luar biasa.

Tampuk kepimpinan itu diserahkan kepada CEO baharu, John Ternus.

Cook menghabiskan hampir tiga dekad bersama Apple dan menerajui syarikat itu sebagai CEO sejak 2011.

Beliau mengambil alih jawatan tersebut hanya beberapa minggu sebelum Jobs meninggal dunia akibat kanser pankreas.

“Kita telah berjaya meninggalkan ‘kesan kita di alam semesta’, seperti yang pernah digambarkan Steve,” tulis Cook dalam memo pada hari terakhirnya bertugas.

Jobs mengambil Cook bekerja pada 1998 dan menjelang 2005, Cook dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Operasi, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pengurus rantaian bekalan yang cekap.

Di bawah kepimpinan Cook, Apple muncul sebagai salah sebuah syarikat paling bernilai di dunia dengan nilai pasarannya melebihi AS$4.5 trilion pada Isnin.

“Apa sahaja yang boleh diperkatakan mengenai kejayaan saya, saya tahu semuanya adalah kerana anda.

“Saya tidak pernah melihat atau bersama sebuah pasukan yang begitu luar biasa sebelum ini dan setiap hari saya terus melihat lebih banyak contoh yang membuktikannya," tulis Cook kepada kakitangannya.

Apple mempunyai kira-kira 166,000 pekerja di seluruh dunia, menurut laporan tahunan terbaharunya.

Image from: Selepas 15 Tahun, Tim Cook Berundur Sebagai CEO Apple
(Kiri) Tim Cook, (Kanan) John Ternus. Kredit: AFP

“Saya menyayangi syarikat ini dan pasukan di sebaliknya,” tulis Cook sambil menyifatkan peluang berkhidmat sebagai pemimpin mereka sebagai satu penghormatan sepanjang hayat.

Tim Cook pengerusi eksekutif Apple

Cook kini akan mengambil alih jawatan sebagai pengerusi eksekutif syarikat itu.

Ternus pula mengambil alih jawatan CEO pada 1 September dan menjadi CEO kedua yang menerajui Apple selepas era Steve Jobs.

Beliau telah bersama syarikat itu sejak 2001 apabila menyertai pasukan reka bentuk sebelum akhirnya dilantik sebagai Naib Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan.

Baca juga:

Ternus hanya mempunyai tempoh lebih seminggu untuk menyesuaikan diri dengan peranan baharunya sebelum Apple mengadakan acara tahunan iPhone pada 9 September, yang dijangka menyaksikan syarikat itu memperkenalkan telefon pintar boleh lipat pertamanya.

Pertukaran kepimpinan itu juga berlaku ketika Apple berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan terhadap rantaian bekalan susulan permintaan tinggi terhadap cip pengkomputeran canggih, persaingan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), serta landskap politik yang semakin mencabar di Washington.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved