
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Ernie Zakri mencipta satu kenangan cukup istimewa dalam perjalanan seninya apabila diberi penghormatan menyampaikan lagu klasik Perancis, La Vie En Rose, bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Lebih membanggakan, detik bersejarah itu berlangsung dalam majlis jamuan tengah hari rasmi semalam yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersempena lawatan rasmi dua hari Presiden Perancis ke Malaysia.
Peluang beraksi di hadapan pemimpin tertinggi Perancis itu pastinya menjadi pengalaman cukup bermakna buat Ernie, apatah lagi apabila berpeluang mendendangkan lagu ikonik negara berkenaan bersama Macron.
Mengulas mengenai pengalaman berkenaan, Ernie menyifatkan penghormatan itu sebagai satu detik yang tidak mungkin dilupakan, selain berbangga kerana diberi kepercayaan membawa nama seni Malaysia ke pentas berprestij berkenaan.
“Diberi penghormatan untuk membuat persembahan di hadapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, merupakan detik yang amat bermakna dalam perjalanan seni saya.
“Peluang menyanyikan ‘La Vie En Rose’ bersama beliau menjadikan pengalaman ini lebih istimewa dan akan kekal sebagai kenangan yang saya hargai sepanjang hayat.
“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan untuk membawa suara dan seni Malaysia ke pentas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pertemuan seni dan diplomasi itu bukan sahaja menjadi kenangan manis buat Ernie, malah memperlihatkan bagaimana muzik mampu menjadi medium menyatukan dua negara meskipun berbeza bahasa dan budaya.
Bagi Ernie, peluang berkenaan pastinya satu penghormatan besar yang akan terpahat sebagai antara pengalaman paling berharga sepanjang bergelar anak seni.
The post Ernie Zakri nyanyi ‘La Vie En Rose’ bersama Presiden Perancis appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] ‘Pandai Presiden Perancis pilih lagu Mawi, Mimifly’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-20.33.31-1024x768.jpeg)

