PUTRAJAYA – Esok menjadi detik penentu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sama ada beliau kekal bebas atau disabitkan bersalah membabitkan empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), apabila Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya.
Keputusan penting itu akan dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum ini.
Pasukan pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq, 33, diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.
Dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan 28 alasan rayuan dengan tujuan mengembalikan semula sabitan serta hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi iaitu penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, sebelum diketepikan oleh Mahkamah Rayuan tahun lalu.
Pada 25 Jun 2025, panel Mahkamah Rayuan memutuskan secara sebulat suara untuk melepaskan dan membebaskan beliau daripada semua pertuduhan, sekali gus mengetepikan sabitan Mahkamah Tinggi.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah berpuas hati bahawa tindakan mengarahkan pengeluaran wang tidak semestinya boleh ditafsirkan sebagai melupuskan dana, sekali gus melemahkan kes pendakwaan.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azhar Abdul Hamid menyifatkan keterangan pembelaan Syed Saddiq sebagai “tidak masuk akal” dalam penghakiman yang menyokong sabitan terhadapnya.
Antara pertuduhan yang dihadapi termasuk pecah amanah melibatkan RM1 juta dana Armada, salah guna harta sebanyak RM120,000 serta dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM50,000 setiap satu ke akaun pelaburan.
Mahkamah Persekutuan dijangka menjadi penentu akhir kepada keseluruhan perjalanan kes berprofil tinggi ini, sama ada sabitan dikekalkan atau keputusan pembebasan oleh Mahkamah Rayuan kekal terpakai.





