Kesatuan Eropah (EU) sedang dalam proses menggubal EU KIDS Act yang bukan sahaja akan mengharamkan penggunaan media sosial kepada individu bawah 13 tahun tetapi juga memperkenalkan beberapa kawalan lebih ketat ke atas individu bawah 18 tahun.
Menerusi RUU ini, individu bawah 13 tahun diharamkan daripada membuka dan memiliki akaun media sosial. Individu berumur 13-14 tahun pula hanya dibenarkan mempunyai akaun sekiranya ia boleh dipantau oleh ibu bapa ataupun penjaga. Di bawah kawalan ini, mereka turut haya boleh menggunakan media sosial atau platform perkongsian video selama 1 jam sehari.

Pemilikan akaun peribadi media sosial hanya dibenarkan kepada individu berumur 15 tahun dan ke atas. Pengesahan umur perlu dilakukan oleh pemilik platform dengan pengesahan mungkin digunakan menerusi sistem pengenalan digital EU yang akan diperkenalkan. Apabila RUU berkuat kuasa kelak, pemilik platform media sosial perlu melakukan semakan ke atas usia sebenar pengguna dalam masa 6 bulan.
Selain itu bagi pengguna bawah 18 tahun pula, terdapat beberapa lagi garis panduan terpakai untuk media sosial, permainan video atas talian, platform video, chatbot dan teman maya kecerdasan buatan (AI). Chatbot AI misalnya perlu dimatikan secara lalai untuk pengguna bawah 18 tahun.
Platform diharamkan menyajikan iklan dan algoritma yang menyasarkan mereka berdasarkan aktiviti lampau. Pada waktu yang sama kamera, mikrofon dan lokasi juga perlu dimatikan pada aplikasi secara lalai. Ciri yang mendatangkan ketagihan seperti skrol tanpa henti dan notifikasi semasa waktu tidur (10 malam hingga 8 pagi) perlu dimatikan.
Akhir sekali platform dengan 45 juta atau lebih pengguna bulanan aktif di EU perlu membentangkan pelan pematuhan sebelum berhubung dengan kanak-kanak. Ini meletakkan EU KIDS Act antara yang paling ketat di dunia.
Pengharaman individu bawah umur menggunakan media sosial mula menjadi popular selepas dimulakan oleh Australia tahun lalu sehingga ia turut diperkenalkan di Malaysia tahun ini. Cuma di EU dan Australia, penguatkuasaan lebih ketat sementara di Malaysia ia diharamkan secara de jure tetapi tidak diamalkan secara de facto.




