
PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menafikan pernah menandatangani dokumen tular yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperintahkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Hannah menerusi hantaran di media sosial awal pagi tadi menegaskan dokumen berkenaan adalah palsu selain memaklumkan Lembaga Pengampunan masih belum bersidang berhubung perkara itu.
“Saya tidak pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial.
“Lembaga Pengampunan masih belum bersidang. Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini. Setiausaha Akhbar saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Hantaran itu turut disertakan tangkap layar menunjukkan satu aduan telah dikemukakan menerusi portal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan nombor rujukan OC260917-00134.
Terdahulu, tular di media sosial satu dokumen yang mendakwa Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersetuju supaya Najib diberikan pengampunan dan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Dokumen tersebut turut memaparkan cap mohor diraja dengan mendakwa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan memerintahkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah di kediamannya.– KOSMO! ONLINE
The post Hannah nafi tandatangan dokumen tular perintah tahanan rumah Najib appeared first on Kosmo Online.






