EU Sokong Malaysia Naik Taraf Industri Semikonduktor Melalui Global Gateway

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 5:30 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

EU Sokong Malaysia Naik Taraf Industri Semikonduktor Melalui Global Gateway

Kesatuan Eropah (EU) menyokong usaha Malaysia untuk bergerak ke segmen bernilai lebih tinggi dalam rantaian industri semikonduktor global menerusi inisiatif pelaburan Global Gateway dan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA).

Pesuruhjaya EU bagi Perkongsian Antarabangsa, Jozef Síkela, berkata Malaysia sudah menjadi antara hab semikonduktor penting dunia dan kini berusaha meningkatkan keupayaan dalam industri berkenaan bagi menjana nilai ekonomi yang lebih besar.

Menurut beliau, kerjasama itu berpotensi memperkukuh kepakaran tempatan, membangunkan rangkaian pembekal domestik serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti, di samping membantu Eropah mempelbagaikan rantaian bekalannya.

Global Gateway Perkukuh Kerjasama Pelaburan

Síkela berkata inisiatif Global Gateway bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi melalui pelaburan dan kerjasama dengan negara rakan, termasuk dalam sektor teknologi dan industri strategik.

Malaysia mempunyai kedudukan yang baik untuk memanfaatkan kerjasama tersebut menerusi asas pembuatan yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran serta kedudukan strategik dalam ASEAN.

EU pula menawarkan akses kepada teknologi, pelaburan dan pasaran yang merangkumi kira-kira 450 juta pengguna.

MEUFTA Buka Peluang Perdagangan Lebih Luas

Rundingan MEUFTA turut menjadi tumpuan dengan kedua-dua pihak menyasarkan penyelesaian menjelang akhir 2027.

Lima pusingan rundingan telah berlangsung sejak Jun 2025, dengan pusingan kelima diadakan di Brussels, Belgium, dari 21 hingga 25 September lalu.

Pusingan seterusnya dijadualkan berlangsung di Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

Perjanjian itu berpotensi mengurangkan halangan perdagangan, memudahkan pelaburan serta meningkatkan akses syarikat Malaysia ke pasaran Eropah.

Dalam lapan bulan pertama tahun ini, perdagangan Malaysia-EU meningkat 21 peratus.

Eksport Malaysia ke Eropah berkembang lebih 28 peratus, manakala eksport Eropah ke Malaysia meningkat hampir 12 peratus.

Selain itu, hampir 2,000 syarikat Eropah beroperasi di Malaysia dengan menggaji lebih 160,000 pekerja secara langsung.

EU Turut Perkukuh Kerjasama Tenaga ASEAN

Selain semikonduktor dan perdagangan, EU memberi tumpuan kepada kerjasama serantau dalam tenaga, hubungan digital, pengangkutan, rantaian nilai mampan, penyelidikan dan pembangunan kemahiran.

Bagi Grid Kuasa ASEAN, Síkela menekankan kepentingan sistem elektrik yang saling berhubung bagi meningkatkan keselamatan tenaga dan membolehkan bekalan dikongsi antara negara apabila diperlukan.

EU turut memperuntukkan secara sementara geran bernilai €60 juta bagi kerjasama tenaga dengan ASEAN menerusi program serantau Asia-Pasifik, selain sokongan dua hala dan pelaburan daripada bank pembangunan Eropah. – Bernama


HUSTLE24HOUR kini dibuka!

Mulakan perjalanan anda untuk memahami fundamental, sentimen pasaran dan teknik Moshed Magic Line bersama Tuan Moshed serta komuniti HUSTLE24HOUR.

👉 Daftar sekarang di HUSTLE24HOUR.COM  

HUSTLE24HOUR ialah program pendidikan dan bukan khidmat nasihat kewangan atau jaminan keuntungan. Perdagangan instrumen kewangan melibatkan risiko yang tinggi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved