
PETALING JAYA – Malaysia dan Singapura bersetuju memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala khususnya dalam aspek daya tahan rantaian bekalan dan ekonomi halal.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu merupakan antara hasil utama Dialog Tahunan Menteri Ketiga (AMD Ke-3) antara MITI dan Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura (METI) di ibu negara, hari ini.
Dialog tersebut dipengerusikan bersama Johari dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri (Perdagangan) Singapura, Gan Kim Yong.
Menurut kenyataan bersama, kedua-dua negara mengesahkan Terma Rujukan (TOR) bagi penubuhan Kumpulan Kerja Kerjasama Rantai Bekalan Malaysia-Singapura (SCWG).
Katanya, kumpulan kerja tersebut akan menjadi mekanisme dua hala baharu bagi meningkatkan kesiapsiagaan kedua-dua negara dalam menghadapi kemungkinan gangguan rantaian bekalan pada masa hadapan.
Ia turut menyokong perkongsian maklumat secara berkala, perancangan bersama dan penyelarasan ketika krisis selain meneroka pengaturan praktikal bagi memastikan pergerakan rentas sempadan barangan serta pekerja penting dapat diteruskan ketika berlaku gangguan serius terhadap ketersambungan atau bekalan.
Sementara itu, Johari berkata, kerjasama tersebut mencerminkan komitmen Malaysia dan Singapura untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dalam persekitaran ekonomi global yang semakin kompleks.
Pada masa sama, Malaysia dan Singapura turut bersetuju meneroka peluang lebih luas dalam sektor ekonomi halal termasuk pembinaan kapasiti dan pelaburan.
Johari turut menggalakkan syarikat Singapura memanfaatkan platform seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) bagi mengenal pasti peluang perniagaan, pelaburan dan perkongsian strategik.
Dalam aspek ekonomi digital dan hijau pula, kedua-dua Menteri memuji kejayaan penyempurnaan Rangka Kerja Kerjasama (FOC) Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau yang berlangsung selama tiga tahun sejak Januari 2023.
Antara pencapaian utama kerjasama ekonomi digital ialah pelaksanaan Pengaturan Pengiktirafan Bersama Pengendali Ekonomi Berdaftar (AEO MRA), pelancaran pembayaran QR rentas sempadan DuitNow-NETS dan pemindahan akaun masa nyata PayNow-DuitNow.
Bagi ekonomi hijau pula, kedua-dua negara mencapai kemajuan menerusi kerjasama pembinaan kapasiti kelestarian, selain penyempurnaan memorandum persefahaman (MoU) berkaitan Artikel 6 serta kerjasama penangkapan dan penyimpanan karbon rentas sempadan. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia-Singapura perkukuh rantaian bekalan, kerjasama ekonomi appeared first on Kosmo Online.






