

PRO-NET, anak syarikat PROTON Holdings Berhad, meraikan penyerahan kenderaan Proton e.MAS yang ke-40,000 hari ini, menandakan pencapaian penting industri kenderaan elektrik Malaysia dalam tempoh 20 bulan selepas pelancarannya menerusi pelbagai inisiatif ganjaran menarik buat pengguna.
Pencapaian Bermakna Industri EV Malaysia
Kejayaan mencatat 40,000 unit penyerahan ini bukan sekadar angka jualan semata-mata. Ia membabitkan kepercayaan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang beralih kepada mobiliti hijau.
Golongan pembeli merangkumi pemilik kereta EV Proton baharu kali pertama, kelompok keluarga, serta pengguna yang menjadikan kenderaan elektrik sebagai mod pengangkutan harian mereka di jalan raya.
Memperkukuh Janji Pelanggan Melalui Diskaun Pengecasan
Bagi menghargai sokongan padu pengguna, PRO-NET memperkenalkan pembaharuan menerusi Janji Pelanggannya .
Inisiatif utama termasuklah diskaun istimewa sebanyak 40% bagi perkhidmatan pengecasan bermula 1 hingga 5 Oktober 2026. Manfaat jangka panjang ini turut merangkumi aspek perkhidmatan selepas jualan, ganjaran eksklusif, serta sokongan digital yang lebih efisien.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, pencapaian ini memberi dorongan buat syarikat untuk terus mempertingkatkan kualiti pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih mudah dan selesa.

“Pencapaian 40,000 kenderaan Proton e.MAS merupakan satu pencapaian yang bermakna buat kami kerana di sebalik setiap kenderaan itu ialah pelanggan yang memilih untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan kami.
"Seiring dengan perkembangan komuniti ini, tanggungjawab kami juga semakin besar untuk menjadikan pengalaman memiliki EV lebih mudah, selesa dan memberikan lebih banyak manfaat.
"Pencapaian ini memberi kami peluang untuk menghargai para pemilik serta memperkukuh Janji Pelanggan kami dengan memberikan lebih banyak perhatian, keyakinan yang lebih baik dan nilai pengecasan yang lebih berbaloi sepanjang tempoh pemilikan mereka,” katanya.
Perluasan Rangkaian Pengedar Seluruh Negara
Bagi memastikan sokongan optimum kepada pengguna, PRO-NET Proton kini telah mempunyai 60 rangkaian pengedar sah di seluruh negara.
Infrastruktur ini turut diperkasakan oleh lebih 1,600 tenaga kerja profesional dalam bidang jualan serta penyelenggaraan.
Menjelang akhir tahun 2026, syarikat menyasarkan pengembangan rangkaian kepada lebih 70 cawangan, merangkumi 57 pusat servis serta 14 pusat Body & Paint bagi menjamin keselesaan jangka panjang para pemilik.



