
Perodua akhirnya melancarkan secara rasminya kenderaan elektrik (EV) pertama mereka yang digelar sebagai QV-E, pada harga RM80,000 ke pasaran tempatan, sebentar tadi.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini hari ini.
QV-E, yang bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua iaitu Smart Mobility Plant.
Model EV pertama 100 peratus buatan Malaysia ini hadir dengan hanya satu varian.
Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, ketika ini, pihaknya akan mengeluarkan 500 unit kenderaan sebulan.
"Namun kami akan menawarkan 3,000 unit kenderaan sebulan menjelang suku ketiga tahun 2026,” katanya.
Dari segi dimensi, QV-E berukuran 4,170 mm (panjang), 1,800 mm (lebar) , 1,502 mm (tinggi) manakala jarak roda pula 2,680 mm .

Menjengah bahagian luarannya, ia hadir dengan gaya ‘sportback‘ serta dipadankan dengan lampu depan jenis LED, ada lampu nyalaan siang hari, lampu belakang jenis lampu melintang, pemegang pintu jenis tersembunyi, ada lampu belokan, dan dipasang dengan rim aloi sebesar 18 inci.


Untuk makluman anda, rim sebesar 18 inci antara yang terbesar yang digunakan Perodua setakat ini.
Sementara itu, melihat kabinnya, QV-E dilihat cukup sempurna kerana hadir dengan pelbagai ciri-ciri moden.

Antaranya seperti skrin infotainmen 10,25 inci, (ada sambungan CarPlay dan Android Auti), kluster digital 10.25 inci, ada cermin belakang jenis digital, kerusi pemandu jenis berkuasa, ada lampu ambien, pengecas wayarles, penghawa dingin berkembar, tempat duduk jenis separuh kulit, ada 6 speaker selain hadir dengan kit pembaikan tayar.



Sementara itu, ia menawarkan ruang kargo seluas 450 liter namun saiznya boleh dibesarkan sehingga 1,238 jika kerusi belakang direbahkan manakala ruang penyimpanan pula 40 liter.
Mengenai trenkuasanya, Perodua QV-E disumbat dengan motor berkuasa 150kW dimana ia mampu menghamburkan kuasa setakat 201 hp dan tork 285Nm.
Untuk makluman, QV-E merupakan projek usahasama antara Perodua dan Magna Steyr!


Untuk itu, ia mampu memecut dari 0-100 kilometer sejam hanya dalam 7.5 saat manakala kelajuan maksimumnya pula 165km/j.
Menyentuh mengenai jarak geraknya, Perodua QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dan mempunyai kapasiti julat sehingga 445 kilometer (NEDC), namun bergantung kepada cara pemanduan, suhu dan keadaan jalan.

Bagaimanapun, penulis berkesempatan memandu uji Perodua QV-E di litar Antarabangsa Sepang dimana ia bukan sahaja nampak sebagai EV sport namun hamburan kuasanya sudah membuktikan ia bakal menawan hati rakyat Malaysia.
Bayangkan dengan hanya mod pemanduan ECO, ia sudah mampu memecut seperti pelesit manakala pemanduannnya cukup selesa dan ringan.
Bagi yang berminat, Perodua menawarkan pilihan untuk pelanggan sama ada membeli bateri secara langsung atau melalui program sewa bateri (Battery-as-a-Service). Program sewa ini membolehkan pelanggan menukar bateri secara percuma sepanjang tempoh langganan.
Dari segi ciri keselamatan, anda jangan risau kerana ia cukup sarat dengan pelbagai ciri keselamatan seperti mana yang ada pada EV lain.
Perodua QV-E ini hadir dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) tahap dua dimana terdapat Amaran dan Pencegahan Perlanggaran Hadapan (FCW & AEB),Amaran Keluar Laluan (LDW), Pemantauan Titik Buta (BSM), Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA) dan enam beg udara.

Ia juga hadir dengan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar, boleh buat panggilan SOS, kamera pandangan sekeliling dan pengesanan dan amaran kanak-kanak (Child Presence Detection).
Sistem ini akan mengingatkan pemandu sekiranya ada kanak-kanak ataupun binatang peliharaan yang tertinggal di dalam kereta kerana ia boleh mengesan pergerakan serta tanda vital (seperti bunyi nafas) di bahagian tempat duduk belakang.
Sistem itu juga boleh mengesan pergerakan walaupun dilitupi oleh selimut atau fabrik lain.
Bagi yang berminat, Perodua QV-E hanya hadir dengan dua pilihan warna iaitu Ice Blue dan Caviar Grey.
Buat masa ini, QV-E hanya akan dijual melalui sembilan cawangan terpilih Perodua yang bertempat di Juru, Ipoh, Glenmarie, Perodua Sentral, Putrajaya, Senawang, Johor Bahru, Kuantan dan Kota Bharu.

