Evenesis terima pelaburan VentureTECH, sasar pasaran ASEAN dan Timur Tengah

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2025 • 3:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Evenesis terima pelaburan VentureTECH, sasar pasaran ASEAN dan Timur Tengah

image is not available

11/08/2025 - 15:16

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos – VentureTECH Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik penuh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), mengumumkan pelaburan strategiknya dalam Y Us Sdn Bhd (Evenesis), syarikat Bumiputera yang mempelopori rumusan Perisian Pengurusan Acara (EMS) dan perkhidmatan terurus digital.

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Ahmad Redzuan Sidek berkata, pelaburan itu bertujuan mempercepatkan pengembangan dan penambahbaikan platform Evenesis untuk memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang serta memperkukuh daya saingnya di peringkat serantau.

“Pelaburan dalam Evenesis mencerminkan komitmen VentureTECH untuk memperkasakan syarikat teknologi Bumiputera yang inovatif dan berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Evenesis akan memfokuskan pasaran strategik termasuk Singapura, Indonesia dan Arab Saudi sejajar dengan pertumbuhan permintaan penyelesaian acara digital secara global.

“Melalui sokongan ini, Evenesis dapat memperluaskan skala perniagaan, mempertingkatkan teknologi serta memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam ekonomi digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

image is not available

Evenesis, yang beroperasi sebagai platform Software-as-a-Service (SaaS) dengan perkhidmatan terurus, telah terlibat dengan lebih 3,000 acara tempatan dan antarabangsa termasuk pameran utama seperti Malaysia International Furniture Fair (MIFF), Oil and Gas Asia (OGA) dan Defence Services Asia (DSA) & NATSEC Asia.

Syarikat itu juga mendapat kepercayaan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta melebarkan sayap ke lebih 16 negara termasuk Kemboja, Thailand dan Filipina.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Evenesis, Mohd Yusno Mohd Yunos berkata, kerjasama tersebut membuka peluang besar untuk mempercepat pertumbuhan serantau dan menyumbang kepada inovasi teknologi acara di peringkat global.- DagangNews.com

standard