SD Guthrie catat untung RM1.07 bilion pada 1H25 melebihi jangkaan pasaran - penganalisis

Business & Finance
11 Aug 2025 • 1:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SD Guthrie catat untung RM1.07 bilion pada 1H25 melebihi jangkaan pasaran - penganalisis

image is not available

11/08/2025 - 13:03

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos – SD Guthrie Bhd dijangka terus mengekalkan prestasi kewangan yang kukuh pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (2H25), didorong oleh kestabilan harga minyak sawit mentah (MSM) dan pengurusan kos operasi yang berkesan walaupun hasil tuaian dijangka lebih tinggi secara bermusim, menurut penganalisis.

RHB Research berkata, bagi suku kedua (2Q25), kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM505 juta atau 7.30 sen sesaham, meningkat daripada RM415 juta atau enam sen sesaham pada tempoh sama tahun lalu.

Firma penyelidikan itu berkata, hasil turut bertambah kepada RM5.17 bilion berbanding RM4.97 bilion sebelum ini.

“Secara kumulatif, keuntungan bersih 1H25 melonjak 71% kepada RM1.07 bilion daripada RM626 juta pada 1H24, manakala hasil meningkat kepada RM9.99 bilion daripada RM9.31 bilion.

“Pencapaian itu sudah melepasi jangkaan dengan keuntungan teras sudah memenuhi 62% hingga 70% unjuran setahun penuhnya,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

Firma itu berkata, faktor utama pencapaian itu termasuk kos faedah lebih rendah, harga jualan purata (ASP) MSM lebih tinggi di Malaysia dan Papua New Guinea serta margin hiliran lebih kukuh.

Susulan itu, RHB menaikkan unjuran keuntungan SD Guthrie bagi FY25–FY27 masing-masing sebanyak 21.8%, 15.1% dan 15.5%, sambil mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran lebih tinggi RM6.10 sesaham.

Kos Terkawal, Hasil Meningkat

Sementara itu, Kenanga Research pula berkata, keuntungan teras 1H25 mewakili 63% daripada unjuran setahun penuhnya dan 59% daripada konsensus pasaran.

Firma itu mengunjurkan harga MSM pada RM4,100 satu tan bagi FY25 dan RM4,000 bagi FY26, dengan sokongan hasil isirong sawit lebih baik, pengeluaran tandan buah segar yang meningkat serta penurunan kos baja berikutan pengukuhan ringgit.

“Namun, segmen hiliran dijangka berdepan margin dan permintaan lemah pada FY25 sebelum pulih sederhana pada FY26 sejajar prospek ekonomi global yang perlahan,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.

Prospek Solar dan Hartanah Perindustrian

Bagi sektor tenaga boleh baharu, SD Guthrie belum memenangi projek di bawah program solar berskala besar kelima (LSS5) tetapi akan terus membida peluang baharu serta meneruskan perjanjian bekalan terus. Disebabkan kekangan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan, sumbangan daripada segmen ini hanya dijangka bermula pada FY28.

Dalam hartanah perindustrian, Kenanga mengunjurkan keuntungan pembangunan RM20 juta hingga RM30 juta setahun menjelang FY27, dengan potensi mencecah RM100 juta hingga RM500 juta pada tahun-tahun berikutnya.

Firma itu mengekalkan penarafan “prestasi pasaran” dengan harga sasaran lebih tinggi RM4.80.- DagangNews.com

standard