NADI Pulau Banggi di Sabah jadi pemangkin ekonomi digital luar bandar raih pengiktirafan dunia - Fahmi

11/08/2025 - 11:45
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi di Sabah kini menjadi pemangkin utama transformasi digital luar bandar yang bukan sahaja membuka akses internet kepada komuniti, malah turut memacu pertumbuhan ekonomi setempat sehingga meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, NADI Pulau Banggi menjadi model kejayaan usaha pendigitalan luar bandar apabila berperanan menyediakan capaian internet berkelajuan tinggi, latihan kemahiran digital serta ruang pembangunan keusahawanan kepada masyarakat di Kudat, Sabah.
“Dengan kemudahan seperti teknologi satelit Starlink yang menawarkan kelajuan melebihi 100 Mbps, penduduk kini bukan sahaja boleh mengakses maklumat dengan pantas, malah berpeluang mengembangkan perniagaan dalam talian.
“Ini adalah peluang untuk mereka memperluaskan lagi pasaran produk dan meningkatkan taraf hidup melalui kemudahan teknologi yang disediakan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke pusat berkenaan semalam.


Sebagai pusat sehenti di bawah inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), NADI Pulau Banggi turut menjadi platform strategik untuk pendidikan digital, pemasaran e-dagang, serta pembinaan jenama komuniti setempat.
Usaha ini diiktiraf di peringkat global apabila NADI Pulau Banggi diumumkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 dalam kategori Capacity Building, anjuran International Telecommunication Union (ITU) bersama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Fahmi berkata, pengiktirafan tersebut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang komited membina ekosistem digital inklusif di mana tiada komuniti walaupun terpencil yang tercicir daripada arus transformasi digital negara.
“Dengan peranan yang semakin penting, NADI Pulau Banggi dijangka terus menjadi nadi pembangunan digital Sabah, menjadi platform antara teknologi dan komuniti, serta mengangkat potensi luar bandar ke pentas global,” katanya. - DagangNews.com
standard



