Everton kempunan ikat Balogun

Football
4 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Everton kempunan ikat Balogun

LONDON: Everton kempunan mendapatkan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun apabila perpindahan bernilai 40 juta pound (RM218.07 juta) dari Monaco gagal dimuktamadkan pada saat akhir, semalam.

Peledak utama Amerika Syarikat di Piala Dunia 2026 tu dilaporkan sudah menjalani pemeriksaan perubatan di England sebelum memutuskan untuk tidak meneruskan perpindahan ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Beberapa laporan mendakwa Balogun membuat keputusan mengejut itu selepas Everton cuba merundingkan semula nilai perpindahan susulan masalah yang dikesan ketika pemeriksaan perubatan.

Bagaimanapun, butiran mengenai isu kesihatan itu tidak didedahkan dan juga nilai baharu yang ditawarkan kepada Balogun tidak disebarkan kepada umum.

Balogun muncul sebagai sasaran lewat Everton yang dikendalikan David Moyes selepas penyerang Guinea-Bissau, Beto, melengkapkan perpindahan ke kelab Serie A, Fiorentina.

Kegagalan mendapatkan Balogun menyebabkan Everton kini mempunyai pilihan yang lebih terhad di bahagian serangan untuk musim baharu.

Kelab itu bagaimanapun berjaya membawa masuk Jack Grealish menerusi perjanjian pinjaman semusim daripada Manchester City untuk musim kedua berturut-turut, selain menandatangani pertahanan England, Ainsley Maitland-Niles, dari kelab Perancis, Lyon.

Balogun mencuri perhatian menerusi persembahannya bersama Amerika Syarikat (AS) pada Piala Dunia tahun ini, namun namanya turut terpalit kontroversi selepas kad merah yang diterimanya dalam kemenangan AS ke atas Bosnia-Herzegovina pada pusingan 32 terakhir.

Kad merah itu pada awalnya menyebabkan Balogun digantung dan tidak dapat beraksi dalam pertemuan pusingan 16 terakhir menentang Belgium.

Bagaimanapun, campur tangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyaksikan FIFA menggantung hukuman kad merah berkenaan, sekali gus membolehkan Balogun diturunkan menentang Belgium.

Amerika Syarikat bagaimanapun tewas 1-4 kepada Belgium dan Balogun kemudian mengakui kontroversi berhubung kad merah berkenaan memberi kesan terhadap prestasi pasukannya.

Balogun dilahirkan di New York tetapi membesar di London dan setakat ini menjaringkan 31 gol dalam 91 penampilan bersama Monaco.-AGENSI

The post Everton kempunan ikat Balogun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved