SkyGate NHJ Technology labur RM121j bangun kilang pintar di Pulau Pinang

LocalTechnology
4 Sep 2026 • 2:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SkyGate NHJ Technology labur RM121j bangun kilang pintar di Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Syarikat pembuatan berprestasi tinggi dan berteknologi maju, SkyGate NHJ Technology Sdn. Bhd. dijangka membuat pelaburan sehingga 30 juta dolar Amerika (AS) atau RM121 juta bagi membangunkan kilang pintar baharu di Pulau Pinang.

Dibangunkan dalam dua fasa, kemudahan pembuatan tersebut bukan sahaja akan mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan teknikal berkualiti tinggi untuk tenaga kerja tempatan, malah, akan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dengan kepakaran moden dalam bidang pembuatan digital.

Ketua Pegawai Eksekutif SkyGate NHJ Technology, Jian Li berkata, fasa pertama pembangunan akan memberi tumpuan kepada penubuhan barisan pengeluaran automatik lima paksi (FPS), pusat pemesinan mendatar automatik dengan stor alat berpusat (MLS) selain mesin larik dan kisar pelbagai tugas.

“Bagi fasa kedua pula, fokus diberi untuk kerja-kerja pemesinan dan pemeriksaan automatik komponen semikonduktor bersaiz besar, selain teknologi kembar digital (digital twin) serta aplikasi kecerdasan buatan (AI),” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan kemudahan pembuatan SkyGate NHJ Technology Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan pembukaan kemudahan pembuatan pintar baharu SkyGate NHJ Technology itu ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Difahamkan, kemudahan berkeluasan kira-kira 36,000 kaki persegi itu dilengkapi teknologi pemesinan kawalan berangka berkomputer (CNC) mendatar dan lima paksi yang canggih bagi menyokong pembuatan digital, automasi serta keupayaan pemesinan berteknologi tinggi.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan komitmen semua pemain industri termasuk SkyGate NHJ Technology dalam mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta membangunkan bakat tempatan menerusi kerjasama dengan universiti dan rakan industri.

Katanya, walaupun kerajaan boleh menyediakan persekitaran yang betul, pemain industri juga perlu memainkan peranan dan melabur untuk tenaga kerja mereka.

“Pulau Pinang kini menjadi lokasi kepada lebih 30 syarikat peralatan ujian automatik (ATE) yang disokong oleh lebih 80 rakan ekosistem dalam bidang automasi, kejuruteraan ketepatan dan pembuatan semikonduktor.

“Justeru, keupayaan pembuatan berketepatan tinggi SkyGate NHJ Technology yang meliputi sektor semikonduktor dan elektronik hingga perubatan, optik serta aeroangkasa meletakkan syarikat itu pada kedudukan baik untuk menyumbang kepada ekosistem teknologi tinggi yang lebih luas ini,” katanya.-UTUSAN

 

The post SkyGate NHJ Technology labur RM121j bangun kilang pintar di Pulau Pinang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved