EWI Capital beli aset komersial pertama RM1.05 bilion bangunan pejabat di Melbourne

LocalBusiness & Finance
6 May 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EWI Capital beli aset komersial pertama RM1.05 bilion bangunan pejabat di Melbourne Image from: EWI Capital beli aset komersial pertama RM1.05 bilion bangunan pejabat di Melbourne amree06/05/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 MeiEWI Capital Berhad meneruskan langkah agresif apabila melengkapkan pembelian aset komersial pertama di Melbourne, Australia yang bernilai A$381 juta (kira-kira RM1.05 bilion).


Langkah dilaksanakan itu sekali gus menguji strategi pelaburan syarikat mengharungi persekitaran pasaran yang mencabar dalam keadaan kadar kekosongan pejabat di negara berkenaan masih tinggi. 


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut berkata, TrustCapital Australian Office Fund No.3, sudah menyelesaikan pembelian bangunan pejabat di 750 Collins Street pada 6 Mei 2026.


Agensi dana berkenaan disertai oleh anak syarikat milik penuh EWI Capital sendiri, iaitu EWI Investment Holdings Ltd sebagai pelabur utama dengan komitmen berjumlah A$100 juta (RM276.5 juta).


"Aset ini ada keluasan boleh disewa bersih 41,000 meter persegi dan kini disewa sepenuhnya oleh Monash University di bawah perjanjian pajakan jangka panjang sehingga 2035," kata kumpulan itu.


Pengambilalihan hartanah ini juga menyediakan aliran pendapatan berulang stabil, kerana bangunan tersebut berfungsi sebagai hab utama Monash College sejak disatukan universiti itu pada 2022.


Langkah pemerolehan ini dilaksanakan ketika pasaran pejabat Australia menyaksikan peningkatan ketara kadar kekosongan daripada kira-kira 0.5% pada 2020 kepada 14.8% pada separuh pertama 2025.


Perkembangan berkenaan susulan lebihan penawaran, namun pertumbuhan sewaan bagi pejabat premium di pusat bandar raya Melbourne pula menunjukkan peningkatan, khususnya di kawasan teras komersial.


"Tekanan kos pembinaan, caj pembiayaan tinggi dan kadar pulangan naik mengehadkan pembangunan baharu dalam masa lima tahun, sekali gus menyokong pemulihan kadar penghunian," kata EWI Capital.


Pemerolehan tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi dana dan memberi manfaat kepada syarikat sebagai pelabur utama, selari strategi aset hartanah stabil di pasaran matang. - DagangNews.com

Terkini standard