
KUALA LUMPUR: Exabytes sasar untuk memperkasa satu juta perniagaan menggunakan kecerdasan buatan (AI) menerusi inisiatif GROW AI menjelang 2030, sekali gus membantu sektor perniagaan meningkatkan kecekapan dan daya saing.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes Group, Chan Kee Siak berkata, GROW AI membantu perniagaan beralih daripada sekadar mempunyai kehadiran digital kepada operasi yang dipacu AI secara selamat, praktikal dan berskala.
Ujarnya, inisiatif itu menggabungkan keupayaan Exabytes dalam infrastruktur awan, keselamatan siber, aplikasi perniagaan, e-dagang, produktiviti tempat kerja, automasi dan perkhidmatan AI terurus.
“Dari segi perniagaan sedia ada, Exabytes yang telah beroperasi selama 25 tahun kini telah menyokong lebih daripada 160,000 perniagaan.
“Dengan penggunaan AI dan strategi baharu ini, kami menetapkan sasaran besar untuk membantu lebih banyak perniagaan berkembang melalui AI.
“Perniagaan memahami bahawa AI akan mempengaruhi cara mereka bersaing, namun ramai masih tidak pasti mengenai langkah permulaan dan cara melaksanakannya dengan selamat.
“Peranan kami adalah mengurangkan kerumitan itu dengan menggabungkan teknologi, infrastruktur, kepakaran dan rakan kongsi yang diperlukan bagi membantu perniagaan menjadikan AI sebagai hasil yang boleh diukur,” katanya pada sidang akhbar Sidang Kemuncak Exabytes GROW AI 2026, di sini.
Beliau berkata, ketika ini, syarikat itu beroperasi di tiga pasaran iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura, namun menjangkakan akan berkembang ke pasaran lain pada masa hadapan.
“Malaysia sebagai pasaran asal kami dijangka menyumbang sekurang-kurangnya 300,000 perniagaan daripada sasaran keseluruhan satu juta perniagaan menjelang 2030.
“Selebihnya akan datang dari negara Asia Tenggara dan pasaran global,” ujarnya.
Menurutnya, GROW AI berteraskan prinsip Reliable, Accessible, Scalable and AI-driven (RASA) bagi membantu usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat korporat serta organisasi sektor awam beralih kepada pertumbuhan berteraskan AI.
Katanya, usaha itu selari dengan aspirasi AI Nation 2030, ketika perniagaan semakin terdorong untuk menterjemahkan penggunaan AI kepada hasil yang memberikan nilai kepada operasi.
Satu kajian 2025 oleh Ecosystm dengan kerjasama Red Hat dan sokongan Pejabat AI Negara mendapati hanya 21 peratus daripada 133 PKS Malaysia yang dikaji telah bergerak melangkaui fasa projek perintis AI, manakala 60 peratus menyatakan kekurangan kepakaran teknikal dalaman sebagai halangan utama.
Dalam acara sama, Exabytes turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) tiga tahun dengan Aurora Mobile (JG) menerusi platform AI perusahaan, GPTBots.ai.
Kerjasama itu membabitkan pembangunan penyelesaian AI perusahaan untuk perniagaan di Asia Tenggara, termasuk pembantu khidmat pelanggan, jualan, pemasaran dan pengurusan pengetahuan berasaskan AI untuk PKS.
Ia turut merangkumi ejen AI perusahaan, meja perkhidmatan pintar, automasi aliran kerja serta infrastruktur AI hibrid untuk organisasi berskala besar dan badan kerajaan. – UTUSAN
The post Exabytes sasar perkasa sejuta perniagaan menerusi GROW AI appeared first on Utusan Malaysia.






