30 tahun berniaga, saya masih relevan – Ira

Business & FinanceStartup
8 Aug 2026 • 6:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 30 tahun berniaga, saya masih relevan – Ira

Ira bimbing lebih 100,000 individu, usahawan

Perjalanan Datin Ira Ghani, 49, bukan hanya tertumpu kepada membangunkan perniagaan dan jenama sendiri menerusi Aura Seri serta Aura Genius.

Pemilik nama sebenar Nor Zaina Ghani itu turut aktif membimbing dan memperkasa usahawan menerusi ilmu serta pengalaman yang dikumpul sepanjang hampir 30 tahun dalam dunia perniagaan.

Langkahnya dalam berkongsi ilmu bermula dengan hanya seorang peserta menerusi kelas pertama yang dianjurkan pada 2000.

Walaupun bermula secara kecil-kecilan, beliau terus istiqamah sehingga berjaya membimbing lebih 100,000 individu dan usahawan terutama dalam kalangan wanita.

Baginya, ilmu dan pengalaman yang dimiliki lebih bermakna apabila dikongsi bersama orang lain.

“Masyarakat mungkin menyangka saya sudah ‘hilang’ daripada radar perniagaan, tetapi sebenarnya saya fokus kepada melatih dan membimbing usahawan secara lebih dekat.

Image from: 30 tahun berniaga, saya masih relevan – Ira

“Memang sejak awal berniaga, niat saya bukan mahu bersaing dengan sesiapa, tetapi memanfaatkan ilmu dan kelebihan yang ada untuk dikongsi bersama,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Sumbangan Ira dalam pembangunan usahawan membolehkannya menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk W.I.S.H Women of Influence Award 2026, Anugerah Usahawan Madani 2025, Top 100 CEO Muda 2019 (Latihan dan Pendidikan) serta Anugerah Usahawan Muda Malaysia 2011.

Malah, beliau turut mendapat kepercayaan sebagai mentor Majlis Amanah Rakyat (Mara) selain menjadi perunding kepada beberapa agensi kerajaan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Kepakarannya merangkumi modul berkaitan perubahan minda, pemerkasaan aura, penjenamaan diri, personaliti unggul dan millionaire mind power.

Terbaharu, suri hati Datuk Dr. Ibrahim Ahmad itu dilantik sebagai duta Universiti Malaya-Wales berkuatkuasa awal bulan ini.

Pelantikan itu menguatkan lagi misinya untuk melahirkan lebih ramai bakat keusahawanan, terutama dalam kalangan wanita.

Katanya, bimbingan yang dilakukan tidak hanya menerusi kelas umum, malah turut melibatkan sesi mentoring secara peribadi bersama peserta daripada pelbagai latar belakang.

“Antara anak didik saya termasuk pengasas dan pemilik perniagaan yang sudah berpengalaman dalam bidang masing-masing, namun mereka tetap datang untuk mendapatkan pandangan dan bimbingan bagi mengembangkan lagi potensi diri serta perniagaan.

Image from: 30 tahun berniaga, saya masih relevan – Ira

“Dalam masa sama, saya juga mewujudkan Komuniti Wanita DIG yang memfokuskan kepada pembangunan dan pemerkasaan wanita khususnya golongan B40, ibu tunggal dan asnaf melalui motivasi, inspirasi dan keusahawanan.

“Inisiatif ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan tiada yuran dikenakan kepada peserta,” katanya.

Platform itu diwujudkan untuk terus berhubung dan berkongsi ilmu dengan lebih ramai wanita di seluruh negara.

Bisnes bukan ikut arus

Sepanjang pengalamannya membimbing usahawan, Ira melihat cabaran sebenar bukan hanya memulakan perniagaan, tetapi memastikan ia mampu bertahan dalam jangka panjang.

Katanya, masih ramai yang menceburi sesuatu bidang hanya kerana terpengaruh dengan kejayaan orang lain atau trend semasa.

Sedangkan setiap perniagaan memerlukan ilmu, minat dan kesungguhan.

“Dalam dunia perniagaan ini, kita jangan terlalu mengejar cepat kaya sahaja, tetapi fikirkan bagaimana mahu kekal konsisten kerana perkara itu sebenarnya yang paling susah.

“Hari ini ramai yang berniaga mengikut trend. Bila nampak orang jual kosmetik, dia pun ikut buat walaupun tiada pengetahuan tentang produk itu.

“Sepatutnya kita perlu ada ilmu terlebih dahulu supaya benar-benar memahami produk yang dijual, termasuk kualiti dan kelebihannya sebelum ditawarkan kepada pelanggan,” katanya.

Image from: 30 tahun berniaga, saya masih relevan – Ira

Ira turut menasihatkan usahawan supaya menjadikan konsep ‘tiruvasi’ sebagai usaha menambah baik sesuatu idea, bukannya meniru bulat-bulat perniagaan orang lain.

Ujarnya, inovasi penting bagi memastikan sesebuah perniagaan terus berkembang dan mempunyai keunikan tersendiri dalam pasaran.

“Kalau tidak dapat buat inovasi, maka cuba konsep tiruvasi tetapi janganlah meniru sehingga menjejaskan perniagaan orang lain.

“Bagi saya, kalau produk seseorang itu bagus dan berkualiti, mereka tidak perlu terlalu risau untuk bersaing, sebaliknya fokus sahaja kepada usaha membangunkan diri dan perniagaan,” katanya.

Wanita mesti jaga aura

Sebagai pakar aura dan tenaga, Ira percaya elemen itu mempengaruhi keyakinan, ketenangan emosi serta cara seseorang membawa diri.

Katanya, aura dan tenaga yang positif mampu menjadi benteng kepada seseorang agar tidak mudah menyerap perkara negatif di sekeliling.

“Wanita mempunyai banyak emosi kerana kita memikul pelbagai tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pekerja.

“Tetapi kalau tenaga kita sendiri sudah lemah, bagaimana kita mahu menjaga diri dan orang lain?” katanya.

Image from: 30 tahun berniaga, saya masih relevan – Ira

Jelas Ira, penjagaan aura tidak serumit yang disangka kerana ia bermula dengan bagaimana seseorang mengawal perkara yang mempengaruhi diri.

Ia juga melibatkan keupayaan memilih perkara yang didengar, dilihat, dituturkan dan dilakukan kerana semua itu boleh memberi kesan kepada emosi.

Menurutnya, pengaruh daripada persekitaran termasuk media sosial juga mampu mencorakkan pemikiran dan emosi seseorang sekiranya tidak ditapis serta dikawal dengan baik.

Berlakon lebih 20 drama

Bakat Ira bukan hanya terserlah dalam dunia keusahawanan, malah beliau turut membuktikan kebolehannya dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Sepanjang 10 tahun bergelar anak seni, lebih 20 drama televisyen telah dibintanginya, termasuk menjayakan pelbagai karakter berbeza.

“Drama pertama saya bertajuk Menantu Tingtong, pada mulanya saya ingat itulah yang pertama dan terakhir kerana sekadar mencuba-cuba sahaja.

“Tetapi tidak sangka pula tawaran terus datang sehingga sekarang,” katanya yang kini terlibat dalam penggambaran drama Gerak Khas.

Beliau mengakui tidak memilih watak asalkan karakter tersebut sesuai dengan dirinya dan komitmen masa yang ada.

Bergaduh paling lama sejam

Sepanjang hampir 30 tahun mendirikan rumah tangga, katanya, tempoh paling lama berselisih faham dengan suami hanyalah sekitar sejam.

Baginya, siapa pun yang melakukan kesilapan, beliau memilih untuk menjadi orang pertama yang meminta maaf demi menjaga keharmonian hubungan.

Image from: 30 tahun berniaga, saya masih relevan – Ira

“Saya orang kampung dan berkahwin di usia muda iaitu 22 tahun.

“Ketika itu, dunia saya hanyalah bersama suami dan dia jugalah yang banyak membimbing serta membentuk diri saya sehingga hari ini.

“Sebenarnya tiada rahsia khusus dalam kebahagiaan rumah tangga kami, mungkin salah satu sebabnya kerana suami lebih matang, tambahan pula kami berbeza usia 10 tahun.

“Selain itu, yang paling penting, jangan terlalu sibuk mencari kesempurnaan kerana perkara itu memang mustahil untuk ditemui,” katanya.

The post 30 tahun berniaga, saya masih relevan – Ira appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved