Exco Negeri Sembilan bertugas seperti biasa

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 12:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Exco Negeri Sembilan bertugas seperti biasa

PETALING JAYA: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan hadir ke pejabat dan meneruskan tugasan seperti biasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Razali Abu Samah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (Adun) Sikamat berkata, beliau meneruskan urusan rasmi seperti biasa hari ini.

“Saya masuk ke pejabat seperti biasa pada pagi ini, tengah hari ada lawatan dan menziarahi kematian,” katanya.

Sementara itu, pegawai kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Suhaimizan Bizar yang juga Adun Gemencheh turut menjalankan tugas sebagai Exco.

“Ya. YB (Yang Berhormat) akan masuk petang nanti, pagi ini beliau berada di kawasan,” katanya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menegaskan tiada keperluan untuk mengemukakan senarai Exco baharu kerana barisan sedia ada masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Menurutnya, pendirian itu dibuat berdasarkan tafsiran perundangan serta sempadan kuasa eksekutif di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya berhubung kedudukan dan tempoh perjawatan Exco.

Katanya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen dengan kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan MMKN.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan ahli MMKN berkuat kuasa serta-merta selepas didakwa melanggar sumpah.

Menurut Perkara XXXVIII (5) UUTKNS 1959, seseorang Exco memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Pemansuhan jawatan itu berlaku selepas kesemua 10 Exco didakwa melakukan penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Besar apabila menandatangani proklamasi untuk menyingkirkan baginda daripada takhta.

Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd. Asna Amin, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd. Fairuz Mohd. Isa dan Datuk Razali Abu Samah. – UTUSAN

The post Exco Negeri Sembilan bertugas seperti biasa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved