EXCO: Pengangkutan awam Selangor perlu lebih bersepadu, mesra pengguna

15 Oct 2026 • 1:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

EXCO: Pengangkutan awam Selangor perlu lebih bersepadu, mesra pengguna

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Selangor perlu mengutamakan sistem pengangkutan awam yang lebih mesra pengguna, cekap dan bersepadu bagi memenuhi keperluan harian rakyat, bukan sekadar menumpukan kepada kenderaan serta masalah kesesakan lalu lintas.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata perancangan bandar dan mobiliti perlu mengambil kira keseluruhan perjalanan pengguna bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam lebih mudah diakses.

“Pemilihan masa untuk mengadakan simposium ini amat tepat. Mobiliti merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan perniagaan dan produktiviti manusia. Walaupun kita semua memahami hakikat ini, kadangkala kita terlepas pandang betapa pentingnya mobiliti dalam kehidupan harian dan ekonomi kita.

“Saya ingin memulakan dengan satu mesej ringkas: sudah tiba masanya kita mengalihkan tumpuan perbincangan mengenai perancangan bandar kepada manusia, bukan sekadar kenderaan.

“Sejak sekian lama, perbincangan mengenai mobiliti terlalu tertumpu kepada kenderaan persendirian, kapasiti jalan raya dan kesesakan lalu lintas," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Simposium Mobiliti Selangor bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Image from: EXCO: Pengangkutan awam Selangor perlu lebih bersepadu, mesra pengguna
Keadaan aliran trafik menghala ke ibu kota sesak selepas Plaza Tol Gombak berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas bercuti di kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, tumpuan perlu beralih kepada usaha mempertingkat kecekapan pergerakan pengguna, khususnya di Selangor, dengan menambah baik keseluruhan pengalaman perjalanan merangkumi pelbagai mod pengangkutan, termasuk bas dan tren, kemudahan berjalan kaki ke stesen serta menunggu bas di perhentian.

“Malaysia telah melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur rel, daripada Transit Aliran Ringan (LRT) hingga Transit Aliran Massa (MRT). Namun, bagi kebanyakan pengguna, perjalanan harian masih mengecewakan.

“Usaha untuk sampai ke stesen, bertukar antara mod pengangkutan, mencari laluan pejalan kaki yang selamat atau menunggu perkhidmatan bas yang boleh dipercayai masih menjadi cabaran berterusan.

“Justeru, persoalannya bukan sekadar bagaimana kita menggerakkan kenderaan dengan lebih cekap, tetapi bagaimana memastikan keseluruhan perjalanan benar-benar memenuhi keperluan pengguna, khususnya pengangkutan awam,” katanya.

Beliau turut mengakui usaha mewujudkan sistem mobiliti bersepadu bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kesabaran, penyelarasan dan kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan.

Image from: EXCO: Pengangkutan awam Selangor perlu lebih bersepadu, mesra pengguna
EXCO Mobiliti, Ng Sze Han bersama Ahli Majlis MBSJ Zon 14, Kamarul Hafiz Kamarudin meninjau keadaan laluan pejalan kaki di sekitar LRT Puchong Prima, Subang Jaya pada 13 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Visi mobiliti bersepadu

Bagi menangani cabaran itu, Sze Han berkata Selangor perlu menghubungkan pelbagai mod pengangkutan termasuk bas, rel dan perkhidmatan atas permintaan bagi memastikan perjalanan pengguna lebih lancar dari lokasi permulaan hingga ke destinasi masing-masing.

“Ketika ini, penumpang yang merancang perjalanan menggunakan bas, rel dan perkhidmatan atas permintaan masih perlu menggabungkan maklumat daripada beberapa sumber yang masing-masing hanya merangkumi sebahagian daripada rangkaian pengangkutan.

“Tiada satu sumber yang menyediakan maklumat lengkap mengenai cara untuk bergerak dari depan pintu rumah hingga ke destinasi menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan berkenaan.

“Apa yang perlu dilakukan Selangor untuk menangani perkara ini dari sudut pandang pengguna merupakan persoalan yang ingin saya cari jawapannya bersama-sama. Kita tidak boleh mencapai mobiliti bersepadu sekiranya perancangan, data, maklumat dan pelaksanaan masih berasingan,” katanya.

Sze Han berkata simposium itu penting kerana menghimpunkan pakar dan organisasi pengangkutan awam antarabangsa untuk berkongsi pandangan mengenai usaha Selangor menambah baik rangkaian pengangkutannya serta menerima pakai penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan negeri, bukannya sekadar meniru pendekatan bandar lain.

Image from: EXCO: Pengangkutan awam Selangor perlu lebih bersepadu, mesra pengguna
Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi beroperasi di SS15 Subang Jaya. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Antara penceramah yang menyertai simposium itu ialah wakil Institut Dasar Pengangkutan dan Pembangunan (ITDP) Indonesia, Arup Hong Kong, TransJakarta dan Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved