
PETALING JAYA – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad memperluas pilihan mobiliti elektrik kepada pengguna menerusi pembukaan pop-up store Zeekr di AEON Mall Shah Alam.
Pembukaan premis sementara itu memberi peluang kepada orang ramai mengenali Zeekr secara lebih dekat sebagai jenama kenderaan elektrik premium yang menampilkan reka bentuk moden, teknologi terkini serta pengalaman pemanduan berasaskan mobiliti elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, pembukaan pop-up store berkenaan membolehkan lebih ramai pelanggan mendapatkan pengalaman secara langsung bersama jenama Zeekr sementara menunggu pembukaan pusat jualan tetapnya di Glenmarie.
“Kami berbesar hati memperkenalkan Zeekr menerusi pop-up store di AEON Mall Shah Alam bagi membolehkan lebih ramai pelanggan mengenali jenama ini dengan lebih pantas sebelum pembukaan bilik pameran khusus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pembukaan pop-up store itu susulan pemeteraian perjanjian pengedar antara EON dan Zeekr Malaysia pada 24 September lalu.
Zeekr House Glenmarie dijangka siap pada suku pertama 2027 dan bakal menyediakan kemudahan jualan serta selepas jualan yang lebih lengkap kepada pelanggan merangkumi proses mengenali kenderaan, pembelian, penghantaran serta khidmat selepas jualan. – KOSMO! ONLINE
The post EON bawa pengalaman Zeekr ke AEON Shah Alam appeared first on Kosmo Online.





