Exco Selangor desak PDRM, MCMC bertindak tegas berkait kes hina Sultan

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 9:10 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Exco Selangor desak PDRM, MCMC bertindak tegas berkait kes hina Sultan

KUALA LUMPUR – Beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor tampil mengecam keras hantaran di media sosial yang menghina Sultan Selangor, sambil mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak segera.

Mereka menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampau, biadab dan mencabar prinsip Perlembagaan serta Rukun Negara, sekali gus mengancam keharmonian masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan negeri, Datuk Borhan Aman Shah, menegaskan penghinaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu adalah serangan serius terhadap simbol kestabilan negara.

“Mana-mana pihak yang terbabit tidak boleh dilindungi, tidak kira latar belakang atau alasan yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah, memberi amaran bahawa tindakan memuat naik suntingan gambar menghina Sultan boleh mencetuskan ketegangan rakyat.

“Saya gesa PDRM jalankan siasatan dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terbabit manakala MCMC perlu memantau, menyekat dan menurunkan kandungan berunsur penghinaan ini,” katanya.

Turut mengecam ialah Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi; Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail serta Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu.

Isu penghinaan terhadap Sultan Selangor menerusi media sosial bukan sahaja dianggap mencabar kedudukan Raja sebagai payung negara, malah berpotensi menimbulkan sentimen negatif yang boleh menggugat perpaduan rakyat.

Dalam konteks Malaysia, kedudukan Raja-Raja Melayu dilindungi Perlembagaan dan menjadi teras kepada sistem demokrasi berparlimen. - 27 April, 2026

The post Exco Selangor desak PDRM, MCMC bertindak tegas berkait kes hina Sultan appeared first on Scoop.