
KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ingkar titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkait pelaksanaan solat Jumaat dan azan di sebuah surau di Ampang yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan di sekitar Pandan Indah, Ampang pada kira-kira 3 petang tadi.
Polis, katanya, turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit dan beberapa dokumen bagi siasatan lanjut.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya, lapor Bernama.
Media sebelum ini melaporkan polis telah mendaftarkan nama seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam isu petisyen azan di Ampang, ke dalam senarai pekeliling khas bagi menghalang individu berkenaan meloloskan diri ke luar negara.
Dalam pada itu, Shazeli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan dan menggugat ketenteraman awam.
“Pihak polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang cuba mencetuskan provokasi melampau sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - 26 April, 2026
The post Polis tahan lelaki kes ingkar titah Sultan Selangor berhubung solat Jumaat, azan appeared first on Scoop.






