
KUALA LUMPUR – Bekas Exco Selangor Ronnie Liu mempersoalkan sikap diam pimpinan tertinggi DAP berhubung isu penternakan babi di negeri itu, susulan titah Sultan Selangor mengenai penempatan semula dan penstrukturan industri berkenaan.
Beliau berkata persoalan yang kini timbul dalam kalangan rakyat adalah mengapa pemimpin DAP tidak mengambil langkah rasmi, termasuk menghadap Sultan Selangor, berunding dengan Menteri Besar, atau membawa perkara itu ke Kabinet bagi mendesak campur tangan kerajaan Persekutuan.
“Persoalan yang kini ingin ditanya oleh rakyat sangat mudah: mengapa pimpinan tertinggi DAP tidak berani menghadap Sultan Selangor secara rasmi? Mengapa tidak berani berunding secara rasmi dengan Menteri Besar Selangor? Mengapa tidak membawa perkara ini ke Kabinet dan mendesak Perdana Menteri serta kerajaan Persekutuan menanganinya secara langsung?” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan tersebut susulan Tindakan kerajaan Selangor mengarahkan supaya tiada lagi lesen baharu penternakan babi dikeluarkan, selain mengarahkan pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat selaras dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa penternakan babi tidak boleh dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.
Liu berkata ketiadaan penglibatan terbuka daripada pemimpin politik semakin sukar diabaikan, memandangkan kesannya yang besar terhadap penternak serta industri hiliran.
“Ini bukan isu kecil. Ia melibatkan penternak yang telah lama beroperasi secara sah, rantaian bekalan, harga kepada pengguna, dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa titah tersebut telah mengubah sepenuhnya konteks keadaan dan memerlukan penjelasan yang jelas, bukannya berdiam diri.
“Titah ini mengubah konteks sepenuhnya dan menuntut kejelasan, bukan kesunyian,” katanya.

Menurut Liu, sebarang perubahan dasar yang menjejaskan industri sedia ada perlu dilaksanakan secara telus dan mengikut proses sewajarnya, bukannya melalui penguatkuasaan secara mendadak.
“Jika satu industri telah lama beroperasi secara sah di bawah sistem sedia ada, tetapi apabila dasar tiba-tiba berubah lalu ia mahu ditutup, dikosongkan dan dihentikan, maka keadilan paling asas bukanlah dengan melabelkan orang atau menuduh pihak yang bertanya sebagai ‘biadab’ atau ‘mencetuskan masalah’,” katanya.
Beliau menambah bahawa tadbir urus perlu berasaskan akauntabiliti yang jelas, bukan pengalihan isu politik.
“Kami bukan mahu mencetuskan perpecahan atau emosi. Kami hanya menyatakan bahawa apabila keputusan sebesar ini dibuat, ia mesti dijelaskan, dilaksanakan dengan betul, dan kesannya ditangani mengikut undang-undang,” katanya.
Liu berkata kerajaan negeri perlu menjelaskan beberapa perkara utama, termasuk asas undang-undang perubahan dasar, sama ada prosedur dan rundingan sewajarnya telah dijalankan, serta sama ada penilaian impak alam sekitar dan sosial telah dilaksanakan.
Beliau turut menuntut kejelasan mengenai mekanisme pampasan dan pelan peralihan bagi penternak terjejas, selain perkembangan lokasi alternatif selepas cadangan Bukit Tagar digantung.
“Keadilan paling asas ialah menjelaskan empat perkara ini: asas undang-undang, prosedur, pampasan dan jalan keluar transformasi,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa kegagalan menjawab persoalan ini hanya akan meningkatkan ketidaktentuan dalam kalangan pihak berkepentingan.
“Jika ini benar-benar demi alam sekitar, kesihatan awam dan kebajikan rakyat, maka persoalan ini tidak wajar dielakkan. Tadbir urus sebenar tidak takut kepada soalan,” katanya.
Liu turut menggesa agar tekanan tidak ditumpukan kepada penternak, sebaliknya memastikan kerajaan negeri menyediakan pelan hala tuju yang jelas dan tersusun untuk pelaksanaan dasar berkenaan. — 24 April 2026
The post Ronnie Liu persoal sikap diam DAP dalam isu penternakan babi Selangor appeared first on Scoop.
