Express Powerr dijangka menjadi antara penerima manfaat perkembangan pusat data di Malaysia, kata RHB Research

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2025 • 12:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Express Powerr dijangka menjadi antara penerima manfaat perkembangan pusat data di Malaysia, kata RHB Research

image is not available

08/09/2025 - 12:44

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Express Powerr Solutions Berhad dijangka menjadi antara penerima manfaat utama daripada perkembangan pesat projek pusat data di negara ini, kata RHB Research.

Katanya, dengan unjuran pertumbuhan keuntungan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9.2% bagi 2024 hingga 2027, kedudukan kumpulan sebagai kontraktor elektrik Kelas A, bersama rangkaian operasi di pelbagai negeri, memberi kelebihan daya saing untuk merebut peluang dalam penyediaan rumusan tenaga yang boleh dipercayai.

Firma penyelidikan itu berkata, industri pusat data kini muncul sebagai pemacu utama penggunaan elektrik di Malaysia.

"Permintaan tenaga daripada projek pusat data telah mencecah ratusan megawatt setiap tahun, menekankan keperluan terhadap infrastruktur tenaga yang kukuh serta perkhidmatan sewaan penjana seperti yang ditawarkan Express Powerr," katanya dalam satu nota kajian.

RHB Research berkata, permintaan untuk perkhidmatan sewaan penjana dijangka meningkat seiring dengan perkembangan industri yang memerlukan bekalan kuasa tanpa gangguan.

Menurut Protégé, industri sewaan jentera dan peralatan ringan dijangka berkembang pada CAGR sebanyak 7.6%, daripada RM953.7 juta pada 2025 kepada RM1.3 bilion menjelang 2029.

Pertumbuhan itu mencerminkan keperluan terhadap rumusan tenaga sementara dan boleh dipercayai bagi mengurangkan masa henti operasi serta memastikan kelancaran aktiviti perniagaan.

Selain itu, kumpulan itu melihat potensi untuk memperkukuh kehadirannya dalam sektor minyak dan gas, di mana penjana merupakan komponen penting untuk aktiviti penerokaan, penggerudian, dan pengeluaran di lokasi terpencil serta mencabar.

Firma pnyelidikan itu berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk mengumpul RM36 juta daripada penyenaraian awam permulaan (IPO) bagi menyokong operasi baharunya di Pulau Pinang dan Kelantan pada tahun kewangan 2025 dengan penyenaraian dijadual berlangsung pada 24 September 2025.

Daripada jumlah hasil IPO itu, kira-kira 56.9% atau RM20.5 juta akan diperuntukan bagi membeli sekurang-kurangnya 36 unit penjana tambahan.

"Dengan sumbangan yang dijangka lebih ketara daripada dua negeri ini, kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk merebut peluang pertumbuhan yang didorong oleh keperluan tinggi terhadap rumusan tenaga yang boleh dipercayai," katanya.

RHB Research bagaimanapun tidak memberikan sebarang penarafan tetapi menetapkan harga wajar (FV) 26 sen sesaham. - DagangNews.com

standard