JHM Consolidation diyakini kembali catat keuntungan bermula 2HFY25 - RHB Research

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2025 • 2:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JHM Consolidation diyakini kembali catat keuntungan bermula 2HFY25 - RHB Research

image is not available

02/09/2025 - 14:26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - JHM Consolidation Berhad diyakini mencatatkan pemulihan keuntungan bermula separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25), didorong peningkatan pengeluaran besar-besaran model automotif baharu.

Bagaimanapun, RHB Research berkata, kos operasi masih tinggi dijangka mengehadkan pemulihan keuntungan sehingga 4QFY25.

Katanya, kumpulan itu baru-baru ini mencatatkan kerugian teras separuh pertama 2025 (1HFY25) sebanyak RM13.5 juta, lebih besar daripada jangkaan, berikutan kos operasi yang meningkat, perbelanjaan projek baharu serta pelarasan bahan dan penyelarasan inventori.

"Walaupun hasil 1HFY25 meningkat 41.5% tahun ke tahun kepada RM139.2 juta, segmen automotif tetap mencatatkan kerugian lebih besar berikutan kelewatan pelancaran model baharu oleh pelanggan serta kos tambahan bagi tenaga kerja dan inventori awal," katanya dalam satu nota kajian.

RHB Research menjangkakan 2HFY25 akan lebih baik kerana pengeluaran besar-besaran model baharu mula meningkat, termasuk kontrak baharu dengan pelanggan sedia ada dan Magna, serta projek lampu depan bernilai RM300 juta bersama Proton melalui usaha sama JHM Dekai Auto Lighting.

Segmen perindustrian pula dijangka mula menyumbang lebih ketara pada FY26 apabila program dalam pembangunan kini memasuki fasa seterusnya.

“Pemulihan akan datang secara berperingkat, tetapi kos operasi yang tinggi masih menjadi faktor utama yang mengehadkan keuntungan dalam masa terdekat.

"Kami menjangkakan pemulihan keuntungan hanya lebih jelas menjelang 4QFY25,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, JHM turut memperuntukkan perbelanjaan modal tambahan sebanyak RM30 juta bagi pembelian bangunan kilang baharu dan mesin untuk menyokong perniagaan lampu depan automotifnya.

Katanya, kumpulan itu turut berdepan beberapa risiko termasuk ketidakstabilan tukaran mata wang asing serta kelewatan dalam pelaksanaan projek baharu.

"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 34 sen berbanding 40 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com

standard