liza06/10/2026 - 16:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt – Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY Malaysia) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama dalam transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi untuk menyokong agenda pembangunan jangka panjang Sarawak.
Melalui MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan meneroka peluang untuk menyokong transformasi digital, penerapan AI, pembangunan keupayaan, inovasi dan tadbir urus dalam sektor awam serta ekosistem berkaitan kerajaan negeri.
Kerjasama itu menggabungkan pengalaman global EY Malaysia dalam transformasi perniagaan, strategi digital, AI, tadbir urus dan kepakaran industri dengan pengalaman SAINS dalam sektor awam serta rekod lebih tiga dekad menyediakan perkhidmatan digital bagi menyokong pembangunan Sarawak.
Ketua Perundingan Teknologi Malaysia di EY Malaysia, Adrian Chew berkata kerjasama itu hadir ketika Sarawak sedang meneruskan perjalanan transformasi digitalnya dengan teknologi, data dan AI semakin penting dalam membantu organisasi meningkatkan kecekapan dan mencapai hasil yang lebih bermakna.
Menurut beliau, penggunaan platform digital, data dan AI perlu disokong asas yang kukuh, termasuk pembangunan keupayaan, pengukuhan tadbir urus serta pengurusan perubahan bagi memastikan manfaatnya dapat dikekalkan dalam jangka panjang.
“Kami berharap dapat bekerjasama dengan SAINS untuk membantu organisasi mengambil langkah praktikal yang menyokong aspirasi digital jangka panjang Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Selari aspirasi PCDS 2030
Kerjasama EY Malaysia dan SAINS itu turut selari dengan aspirasi Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan negeri itu menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh data, inovasi dan teknologi.
Ketua Perundingan Kerajaan dan Sektor Awam EY ASEAN, Mohd Husin pula berkata tumpuan utama adalah untuk memastikan pelaburan teknologi dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi dan sosial yang bermakna.
Beliau berkata kerjasama itu turut bertujuan menyokong usaha memperkukuh keupayaan digital, menggalakkan penerapan AI secara bertanggungjawab serta membina asas ekonomi yang berdaya tahan, inovatif dan bersedia menghadapi masa depan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman pula berkata Sarawak telah membina momentum yang kukuh dalam perjalanan pendigitalannya, disokong visi serta komitmen yang jelas terhadap inovasi.
“SAINS melihat peluang untuk bekerjasama dengan EY Malaysia dalam menyokong pembangunan keupayaan, inovasi dan perkembangan berterusan ekonomi digital Sarawak,” katanya.
Secara keseluruhannya, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama EY Malaysia dan SAINS untuk membantu mempercepatkan transformasi, memperkukuh tadbir urus serta menyokong penerapan teknologi baharu yang bakal membentuk ekonomi masa depan Sarawak. - DagangNews.com





