hamden30/09/2026 - 18:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) melantik Tarang Gupta sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Oktober 2026, menggantikan Lim Yew Hoe, 60, yang bersara.
Menerusi pemfailan kepada Bursa Malaysia, F&N berkata Gupta, 49, mempunyai pemahaman dan pengalaman kukuh berkaitan keperluan halal selain amat memahami keperluan industri barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).
Dalam kenyataan mengumumkan peralihan kepimpinan pada Mac lalu, F&N berkata, Gupta mempunyai lebih 24 tahun pengalaman dalam sektor FMCG, dengan rekod menerajui pertumbuhan dan transformasi perniagaan di seluruh Asia dan Afrika.
“Beliau pernah memegang pelbagai jawatan kanan dengan tanggungjawab menyelia organisasi kompleks, termasuk tanggungjawab menyeluruh terhadap prestasi komersial, kecemerlangan operasi dan pembangunan keupayaan,” katanya.
F&N berkata pengalaman kepimpinan Gupta merangkumi pelbagai kategori pengguna termasuk produk tenusu dan pemakanan.
Beliau juga berpengalaman menerajui pengembangan pasaran, memperkukuh disiplin pelaksanaan serta membina platform rantaian bekalan yang berdaya tahan.
Terbaharu, Gupta menerajui perniagaan Royal FrieslandCampina di Filipina menerusi anak syarikatnya, Alaska Milk Corp.
Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Bhd di Malaysia dan Singapura. - DagangNews.com




