F&N pindah sebahagian operasi ke kilang Butterworth susulan kapasiti penuh di Shah Alam, Bentong

29/04/2025 - 16:34
KUALA LUMPUR 29 April - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) akan memulakan operasi di kilangnya yang telah dinaik taraf di Butterworth, bagi mengurangkan tekanan kapasiti pengeluaran di kilang Shah Alam dan Bentong.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, kilang di Butterworth yang sebelum ini digunakan untuk pengeluaran botol kaca dan gudang serantau, telah diubah suai untuk menempatkan barisan pengeluaran baharu bagi minuman berkarbonat dan air minuman.
"Struktur bangunan sedia ada digunakan semula, jadi kami hanya mengubah suai dan memasang mesin baharu. Ini membolehkan kami berjimat dari segi kos beli tanah dan pembinaan," katanya dalam taklimat kewangan kumpulan bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (1H FY2025) seperti laporan Bernama.
Menurut Yew Hoe, syarikat kini sedang mendapatkan sijil halal dan kelulusan lain yang diperlukan sebelum operasi bermula.
"Dengan kos permulaan yang rendah dan lokasi kilang yang lebih dekat dengan pasaran utara, kami boleh menjimatkan kos pengeluaran dan logistik.
"Buat masa ini, kos penghantaran satu kotak 100PLUS bersaiz 1.5 liter dari Shah Alam ke utara sangat tinggi," ujarnya.
Menjelaskan mengapa F&N memindahkan operasi ke Butterworth, beliau berkata, ia kerana kilang sedia ada di Shah Alam dan Bentong sudah beroperasi pada kapasiti penuh.
"Jadi, tiba masanya untuk kami kembangkan pengeluaran ke utara supaya operasi di tengah dan selatan boleh fokus kepada kawasan masing-masing," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, F&N merancang untuk menghasilkan air minuman dalam saiz pek lebih kecil iaitu sekitar 200 mililiter hingga 250 mililiter, bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat terhadap produk bersaiz mini.
Mengenai projek ladang tenusu F&N AgriValley di Gemas, Negeri Sembilan, Yew Hoe berkata, syarikat menyasarkan untuk mengembangkan operasi kepada 10,000 ekor lembu tenusu dalam fasa pertama, sebelum meningkat kepada 20,000 ekor dalam fasa kedua bagi mencapai tahap pulang modal.
"Pelaburan sebanyak RM1.8 bilion ini mencerminkan strategi jangka panjang kami untuk mengurangkan kebergantungan kepada susu import dan mengukuhkan bekalan susu segar tempatan.
"Daripada jumlah itu, kira-kira RM600 juta telah dibelanjakan untuk pembinaan kemudahan, manakala RM100 juta diperuntukkan untuk pembelian lembu," katanya.
F&N semalam melaporkan penurunan keuntungan bersih kepada RM140.34 juta bagi suku kedua berakhir 31 Mac 2025 (2Q FY2025), berbanding RM165.41 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan juga sedikit susut sebanyak 1.4 peratus kepada RM1.33 bilion berbanding RM1.35 bilion sebelumnya, disebabkan jualan perayaan yang perlahan dalam segmen makanan dan minuman (F&B) di Malaysia, banjir serta jualan yang lemah dari segmen F&B di Indochina. - DagangNews.com
standard


