F&N dijangka catat pertumbuhan kukuh dalam sektor tenusu, kata Kenanga Research

21/04/2025 - 10:53
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 21 April - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dijangka mengalami pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor tenusu selepas syarikat mengambil langkah strategik menceburi operasi tenusu.
Menurut Kenanga Research, F&N baru-baru ini menerima kumpulan pertama lembu tenusu baka Holstein dari Chile berjumlah 2,500 ekor di ladang tenusu bersepadu milik mereka di Gemas, Negeri Sembilan.
Ketibaan lembu-lembu tersebut tertangguh berikutan sekatan import dari Amerika Syarikat (AS).
Ini merupakan import terbesar ternakan baka secara tunggal ke Malaysia dan yang pertama dari Chile.
"F&N pada asalnya merancang untuk mendapatkan ternakan dari AS, namun perancangan itu ditukar kepada Chile bagi mengelakkan kelewatan yang berpanjangan.
"Dengan perubahan ini, kami menjangka pengeluaran susu pertama akan bermula pada pertengahan tahun 2025," menurut Kenanga Research dalam satu nota kajian.
Jelasnya, walaupun keuntungan jangka pendek mungkin terjejas sedikit disebabkan kos permulaan yang tinggi dan susut nilai aset, langkah F&N akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan jangka panjang syarikat dalam industri tenusu.
Kenanga Research turut mengurangkan unjuran keuntungan F&N bagi tahun kewangan 2026 sebanyak dua peratus bagi mengambil kira kos operasi dan susut nilai berkaitan ladang tenusu tersebut.
Ia turut mengekalkan saranan 'outperform' terhadap saham F&N dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM29.80.
"Kami masih positif terhadap F&N kerana perniagaan mereka kukuh berikutan permintaan yang stabil terhadap makanan asas walaupun berdepan inflasi tinggi dan ketidaktentuan ekonomi global.
"Selain itu, produk minuman sedia diminum F&N terus mendapat sambutan, ditambah pula dengan pemulihan perbelanjaan domestik dan kehadiran pelancong di Thailand," ujarnya. - DagangNews.com
standard
