F&N yakin mampu dapatkan pulangan modal RM1.8 bilion daripada ladang tenusu bersepadu di Gemas

02/05/2025 - 12:53
Gambar/Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N)
KUALA LUMPUR 2 Mei - Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) yakin dapat meraih pulangan modal dalam tempoh tiga hingga lima tahun daripada projek ladang tenusu bersepadu RM1.8 bilion di Gemas, Negeri Sembilan, sambil terus merancang meningkatkan kapasiti ternakan.
Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, fasa pertama melibatkan penambahan kepada 10,000 ekor lembu, dengan sasaran akhir 20,000 ekor lembu, yang merupakan sasaran pulang modal bagi fasa kedua.
"Pelaburan RM1.8 bilion ini mencerminkan strategi jangka panjang kami mengurangkan kebergantungan kepada susu tenusu import dan meningkatkan daya tahan dalam bekalan susu mentah.
"Sasaran utama pulang modal kami adalah sekitar 20,000 ekor lembu, yang kami sasarkan untuk dicapai dalam fasa kedua.
"Buat masa ini, fokus kami adalah mencapai 10,000 ekor lembu dalam fasa pertama," katanya pada taklimat keputusan kewangan F&N minggu lepas.
Beliau berkata, bagi mempercepat produktiviti, F&N hanya mengimport lembu yang sedang bunting, bagi memastikan pengeluaran susu segera dan peningkatan populasi ternakan yang cepat.
Yew Hoe berkata, fasa semasa dengan perbelanjaan modal RM2 bilion, dijangka menghasilkan 100 juta liter susu segar setiap tahun.
"Kumpulan pertama iaitu 2,500 ekor lembu bunting telah tiba di ladang. Peningkatan sepenuhnya di semua fasiliti dijangka mengambil masa sekitar tiga tahun, selaras dengan penghantaran lembu dan pengeluaran susu secara berperingkat," jelasnya.

F&N memperuntukkan RM200 juta daripada pelaburan itu untuk membeli ladang di Gemas dan RM600 juta untuk pembangunan infrastruktur, manakala kurang daripada RM100 juta dibelanjakan untuk membeli kumpulan pertama lembu.
Syarikat itu juga menanam sendiri jagung di kawasan seluas 500 hektar bagi mengurangkan kos makanan ternakan.
"Cuaca di Malaysia membolehkan kami menanam jagung dua kali setahun, berbanding hanya sekali di Amerika Syarikat (AS).
"Ini membantu kecekapan makanan dan menjimatkan kos berbanding ladang di AS," katanya.

Bagi memastikan penghasilan yang tinggi, Yew Hoe berkata, syarikat turut melabur untuk kebajikan ternakan antaranya menyediakan kipas, sistem penyejukan dan tilam getah yang direka menyerupai katil premium.
"Kami banyak melabur bagi memastikan ternakan kami selesa. Lembu yang tidak tertekan, akan menghasilkan lebih banyak susu dan kadar kematiannya lebih rendah," ujarnya.
F&N turut memanfaatkan insentif daripada Kementerian Kewangan, yang membenarkan pemotongan cukai mengikut skala pelaburan modal syarikat.
Aset biologi, termasuk lembu, dinilai mengikut nilai pasaran semasa, dengan keuntungan atau kerugian dicatatkan dalam kos barang dijual.
Selain itu, F&N juga sedang membina loji pemprosesan tenusu di Kemboja melalui anak syarikat Thailand.
Katanya, langkah untuk berkembang ke Kemboja dibuat memandangkan syarikat sudah mempunyai asas pasaran di sana dan halangan kemasukannya lebih rendah berbanding negara besar seperti Vietnam.
"Kemudahan di Kemboja selaras dengan strategi pengembangan tenusu kami secara keseluruhan dan menguatkan kekuatan pasaran kami di rantau ini," tambah Yew Hoe. - DagangNews.com
featured standard

