F1 Bahrain di Sepang dijangka pacu sasaran sembilan juta pelancong ke Selangor

LocalTravel
27 Jul 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

F1 Bahrain di Sepang dijangka pacu sasaran sembilan juta pelancong ke Selangor

SHAH ALAM, 27 JULAI: Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 6 Oktober ini dijangka menjadi pemangkin kepada pencapaian sasaran sembilan juta pelancong ke Selangor sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata F1 bukan sekadar acara sukan permotoran bertaraf dunia, malah platform global yang menghubungkan sesebuah destinasi dengan jutaan peminat di seluruh dunia.

"Ini merupakan peluang yang amat bernilai bagi Selangor untuk mempamerkan kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan di luar litar perlumbaan.

"Ia sekali gus menggalakkan pelawat meneroka bandar-bandar di negeri ini, hutan semula jadi, pengalaman gastronomi dan komuniti tempatan yang dinamik," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata penganjuran acara berprestij itu dijangka merancakkan ekonomi dan sektor pelancongan negeri menerusi peningkatan ketibaan pelawat, kadar penginapan hotel serta perbelanjaan dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman serta pengangkutan.

Image from: F1 Bahrain di Sepang dijangka pacu sasaran sembilan juta pelancong ke Selangor
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling. Foto Tourism Selangor

Menurutnya, pergerakan pelawat turut dijangka melangkaui kawasan Sepang dengan memberi impak kepada hab pelancongan utama di Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi, sekali gus mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di seluruh negeri.

"Tourism Selangor akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan, hotel, pengendali pelancongan dan penganjur acara bagi membangunkan pakej pelancongan yang menarik untuk menggalakkan pelawat tinggal lebih lama serta meneroka lebih banyak destinasi di Selangor," katanya.

Tambahnya, penganjuran acara tersebut turut mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai gerbang pelancongan utama negara, sekali gus menyokong aspirasi TMS 2026 dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

"Kami menantikan kehadiran peminat F1 dari seluruh dunia dan menjemput mereka untuk merasai sendiri mengapa Selangor merupakan pintu masuk terbaik ke Malaysia. Datang dan alami sendiri Surprising Selangor!" katanya.

Terdahulu, diplomasi diraja antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, mencipta detik bersejarah apabila berjaya mengembalikan semula perlumbaan F1 ke SIC, selepas sembilan tahun.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, kejayaan itu disifatkan sebagai hasil hubungan erat serta kepercayaan tinggi yang terjalin antara Seri Paduka Baginda dan Raja Hamad, sekali gus membawa kepada penganjuran Grand Prix (GP) F1 Bahrain di Malaysia.

Semalam dilaporkan Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun, apabila bakal menjadi tuan rumah GP F1 Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober ini.

Perlumbaan itu akan berlangsung di antara GP Azerbaijan dan GP Singapura dalam kalendar F1.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved