Panggilan Raja Bahrain Kepada Agong Jadi Titik Tolak F1 Kembali Ke Sepang Selepas Sembilan Tahun

27 Jul 2026 • 4:21 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Panggilan Raja Bahrain Kepada Agong Jadi Titik Tolak F1 Kembali Ke Sepang Selepas Sembilan Tahun

Panggilan Raja Bahrain Kepada Agong Jadi Titik Tolak F1 Kembali Ke Sepang Selepas Sembilan Tahun

Satu panggilan telefon antara Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menjadi detik penting yang membuka laluan kepada kembalinya perlumbaan Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) selepas sembilan tahun.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Raja Hamad dilaporkan menghubungi baginda bagi membincangkan jalan penyelesaian susulan penganjuran Grand Prix Bahrain yang berdepan ketidaktentuan akibat konflik bersenjata di Asia Barat.

Menurut hantaran itu, perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan semangat persahabatan tersebut akhirnya membuka ruang kepada kerjasama strategik melibatkan Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, Formula 1 (F1) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Perbincangan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra serta semangat persahabatan itu menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik,” menurut hantaran itu.

Hasil persefahaman berkenaan, Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) dipilih sebagai venue penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober.

Baca juga:

Perlumbaan tersebut akan berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura dalam kalendar Formula 1 musim ini.

Menurut hantaran sama, kejayaan itu turut didorong hubungan erat serta kepercayaan yang terjalin antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad sejak tahun 2017.

Katanya, hubungan persahabatan itu terus berkembang sehingga memperkukuh kerjasama diplomatik antara Malaysia dan Bahrain, termasuk menerusi lawatan negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada tahun lalu.

“Pengumuman litar Sepang sebagai tuan rumah bagi F1 Grand Prix Bahrain diterima baik, terutama dalam kalangan peminat F1 di Malaysia dan serantau.

“Ia turut mencipta lembaran sejarah tersendiri yang mencerminkan hubungan diplomasi diraja yang cukup baik antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dipilih sebagai tuan rumah perlumbaan berprestij itu kerana negara berada dalam keadaan aman selain memiliki infrastruktur bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, faktor keselamatan yang kukuh hasil peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan lain menjadi antara kekuatan utama negara.

“Kalau tidak, mana mungkin Malaysia dipilih. Perkara aman dalam satu negara jangan kita anggap perkara biasa,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Pemilihan Sepang menyaksikan perlumbaan Formula Satu kembali ke Malaysia buat kali pertama sejak tahun 2017.

SIC sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia selama 19 musim bermula pada 1999 sebelum perlumbaan tersebut digugurkan daripada kalendar Formula 1 susulan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved