Kembali Jadi Tuan Rumah Selepas 9 Tahun, Apa Istimewanya Litar Sepang Hingga Dipilih Untuk GP Bahrain F1

27 Jul 2026 • 5:02 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

litar sepang gp bahrain

Malaysia kembali menjadi perhatian peminat sukan permotoran dunia apabila secara rasmi diumumkan sebagai tuan rumah perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober depan.

Pengumuman itu sekali gus menandakan kepulangan Formula 1 (F1) ke Malaysia selepas sembilan tahun sejak perlumbaan terakhir di Sepang pada 2017.

Sepanjang tempoh ketiadaan perlumbaan ini, ramai peminat hanya dapat mengikuti aksi F1 melalui siaran televisyen atau menghadiri perlumbaan di negara jiran seperti Singapura.

Jadinya, berita ini disambut dengan penuh keterujaan kerana ia sekali lagi berpeluang menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia secara langsung di tanah air.

Screenshot 2026 07 27 163704

Dikenali Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia

Perlumbaan GP Bahrain yang sepatutnya berlangsung di Sakhir pada April lalu ditangguhkan pada Mac bersama Grand Prix Arab Saudi berikutan situasi tidak menentu di rantau Asia Barat.

Bahrain sebelum ini berharap dapat menjadualkan semula perlumbaan itu pada 4 Oktober, iaitu di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura. Bagaimanapun, peningkatan konflik sejak kebelakangan ini menyebabkan perancangan tersebut tidak dapat diteruskan.

Sebagai penyelesaian, Litar Antarabangsa Sepang yang kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 2017 dilaporkan tampil menawarkan diri untuk menjadi hos perlumbaan berkenaan.

images 4

Dalam sejarah F1, terdapat beberapa kejadian sebuah negara menganjurkan perlumbaan menggunakan nama negara lain, termasuk Nuerburgring di Jerman yang pernah menjadi lokasi GP Luxembourg, manakala GP San Marino selama bertahun-tahun berlangsung di Imola dan GP Switzerland pernah dianjurkan di Perancis.

Kenapa Sepang dipilih?

Petronas Sepang international circuit

Pemilihan Litar Antarabangsa Sepang bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia merupakan antara litar yang pernah menerima pujian daripada ramai pelumba Formula 1.

Antara faktor utama ialah Sepang masih memiliki pensijilan FIA Grade 1, iaitu standard tertinggi yang membolehkan sesebuah litar menganjurkan perlumbaan F1, ditambah pula dengan pengalaman penganjuran F1 selama 19 musim dari 1999 hingga 2017.

Selain itu, fasiliti litar, pit, pusat media dan kawasan paddock masih memenuhi keperluan penganjuran perlumbaan bertaraf dunia.

Dari sudut logistik pula, kedudukan Malaysia di rantau Asia Tenggara menjadikan Sepang lokasi yang sesuai memandangkan perlumbaan itu berlangsung hanya seminggu sebelum Grand Prix Singapura. Ini membolehkan pasukan F1 mengurangkan kos serta memudahkan pergerakan jentera dan kargo.

Tambahan pula, walaupun ada lebih banyak negara yang lebih sesuai, tetapi Malaysia menjadi pilihan kerana memiliki tiga faktor ini iaitu negara yang aman, pengurusan baik dan cekap serta mempunyai infrastruktur yang baik.

Antara litar kegemaran pelumba

Boleh dikatakan bahawa litar Sepang merupakan salah satu litar kegemaran ramai pelumba kerana reka bentuknya yang canggih dan mencabar.

Untuk pengetahuan, Litar Sepang masih lagi disebut-sebut dan dirindui oleh para pelumba dan peminat sukan itu dari seluruh negara.

Buktinya, pelumba Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team, George Russell dan Kimi Antonelli berkongsi keterujaan apabila akhirnya dapat berlumba di Sepang susulan pengumuman Malaysia menjadi hos untuk GP Bahrain ini.

“Sepang sebenarnya trek kegemaran saya semasa kecil ketika saya bermain permainan video F1.

“Saya tidak pernah berlumba di sana, tetapi saya rasa saya sangat mengenalinya, jadi ia pasti sangat menarik,” kata Russell.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team (@mercedesamgf1)

Litar sepanjang 5.543 kilometer itu mempunyai gabungan selekoh berkelajuan tinggi, selekoh teknikal serta dua laluan lurus yang panjang, sekali gus menawarkan peluang memotong yang lebih menarik berbanding kebanyakan litar lain.

Keadaan cuaca tropika Malaysia yang panas dan tidak menentu juga sering menjadi cabaran tambahan kepada pelumba serta pasukan, menjadikan perlumbaan di Sepang lebih mencabar.

Malaysia anjur F1 tanpa kos, hanya belanja RM16 juta untuk naik taraf

758016817 1630338971780997 8210155970942316832 n

Menariknya untuk penganjuran kali ini, Malaysia tidak perlu membayar sebarang kos pendaftaran kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim, negara hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang dianggarkan sekitar RM16 juta untuk menaik taraf Litar Antarabangsa Sepang.

Anwar mengatakan, jumlah tersebut amat kecil berbanding manfaat yang bakal diperoleh negara apabila Malaysia menjadi perhatian dunia menerusi kehadiran pelumba terbaik, jentera F1 paling canggih serta ribuan jurutera dan pegawai pasukan ke Sepang.

Walaupun hanya menjadi venue pengganti, pemilihan Sepang jelas membuktikan Malaysia masih mempunyai tempat istimewa dalam dunia F1.

Siapa tahu, jika penganjuran kali ini mendapat sambutan memberangsangkan, tidak mustahil kita akan melihat Sepang kembali secara tetap dalam kalendar F1 pada masa akan datang.

Sumber: Berita Harian, BBC, Formula 1

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved