F1 GP Bahrain di Malaysia: Tiket tiga hari serendah RM200 untuk pemegang MyKad

14 Aug 2026 • 7:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

F1 GP Bahrain di Malaysia: Tiket tiga hari serendah RM200 untuk pemegang MyKad Image from: F1 GP Bahrain di Malaysia: Tiket tiga hari serendah RM200 untuk pemegang MyKad johardy14/08/2026 - 07:59

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Peminat sukan permotoran Malaysia berpeluang menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini dengan tiket tiga hari serendah RM200 menerusi kadar khas yang ditawarkan khusus kepada warganegara Malaysia.

 

Menurut maklumat yang disiarkan di laman web rasmi GP Bahrain, pemegang MyKad layak menikmati kadar khas bagi enam kategori tempat duduk, dengan harga antara RM200 hingga RM2,083.40.

 

Pilihan paling berpatutan ialah Hillstand G pada harga RM200, manakala tiket bagi Hillstand B dan Hillstand C masing-masing berharga RM809.60.

 

 

 

 

 

 

Bagi tempat duduk grandstand, tiket berharga RM1,291.40 untuk Grandstand F, RM1,386 bagi Grandstand K1 dan RM2,083.40 untuk Grandstand Utama.

 

Grandstand Utama, Grandstand K1 dan Grandstand F menawarkan tempat duduk serta ruang tontonan di atas bumbung, manakala Hillstand B, C dan G adalah kawasan berumput dan terbuka.

 

Kadar khas itu bagaimanapun hanya tersedia kepada pemegang MyKad, dengan proses pengesahan dilaksanakan bagi memastikan kelayakan.

 

Tiket diskaun boleh dibatalkan

Urus niaga akan diproses dalam dinar Bahrain berdasarkan kadar pertukaran semasa ketika pembelian dibuat.

 

Laman web berkenaan memaklumkan mana-mana tiket diskaun yang tidak sepadan dengan MyKad yang sah atau gagal memenuhi kriteria kelayakan akan dibatalkan.

 

Kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun layak mendapat diskaun 25%, tidak termasuk Hillstand G, manakala kanak-kanak berusia bawah tiga tahun boleh masuk secara percuma tanpa tempat duduk yang diperuntukkan.

 

Sementara itu, semakan Bernama di laman web rasmi GP Bahrain mendapati permintaan tinggi daripada peminat Malaysia menyebabkan pembelian tiket secara dalam talian terganggu buat sementara waktu.

 

Notis yang disiarkan di laman web berkenaan memaklumkan penganjur sedang berusaha menambah baik pengalaman pembelian dalam talian dan menggesa peminat mengikuti saluran media sosial mereka bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai ketersediaan tiket.

 

 

 

 

 

 

 

Walaupun pembelian dalam talian masih terjejas, peminat masih boleh mendapatkan tiket menerusi pusat panggilan GP Bahrain di +973 1745 0000.

 

Kadar antarabangsa jauh lebih tinggi

Dalam pada itu, kadar antarabangsa adalah jauh lebih tinggi, dengan tiket tiga hari yang disenaraikan di laman web berharga AS$565.40 bagi Grandstand Utama, AS$376.20 untuk Grandstand K1 dan AS$350.90 bagi Grandstand F, manakala tiket Hillstand B dan C masing-masing berharga AS$220. — BERNAMA

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved