
Tiket F1 GP Bahrain 2026 Bermula Dari RM200, Zon Mana Paling Best?
Kehangatan Formula Satu (F1) akhirnya kembali dirasai di Malaysia apabila perlumbaan Formula 1 Grand Prix (GP) Bahrain bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Sepang International Circuit, SIC) dari 2 hingga 4 Oktober 2026. Sudah pasti berita ini menjadi antara yang paling dinanti-nantikan oleh peminat sukan permotoran tempatan selepas sekian lama Malaysia tidak menjadi tuan rumah perlumbaan F1.
Apa yang lebih menggembirakan, rakyat Malaysia yang memiliki MyKad turut menikmati harga tiket istimewa yang jauh lebih berpatutan berbanding peminat antarabangsa. Dengan harga bermula serendah RM200 untuk pas tiga hari, lebih ramai peminat berpeluang merasai sendiri pengalaman menyaksikan jentera F1 beraksi secara langsung di litar.
Namun, sebelum membuat pembelian, ada satu perkara penting yang perlu dipertimbangkan iaitu lokasi tempat duduk. Setiap Grandstand dan Hillstand menawarkan pengalaman tontonan yang berbeza. Ada yang sesuai untuk melihat aksi di garisan penamat, ada pula yang menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikan pertarungan sengit ketika pemandu memasuki selekoh.
Senarai harga tiket F1 GP Bahrain untuk pemegang MyKad
Berikut merupakan harga pas tiga hari bagi rakyat Malaysia:
Main Grandstand – RM2,083.40
K1 Grandstand – RM1,386.00
F Grandstand – RM1,291.40
B & C Hillstand – RM809.60
G Hillstand – RM200.00
Setiap kategori menawarkan kelebihan tersendiri bergantung kepada pengalaman yang anda mahukan sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Harga tiket untuk peminat antarabangsa
Bagi penonton dari luar Malaysia, harga tiket adalah berbeza mengikut kategori tempat duduk. Antara harga yang ditawarkan ialah:
Main Grandstand – AS$566.05
F Grandstand – AS$376.39
K1 Grandstand – AS$350.13
B & C Hillstand – AS$218.90
Kategori G Hillstand tidak ditawarkan kepada peminat antarabangsa kerana ia merupakan kategori khas untuk rakyat Malaysia.
1. Main Grandstand
Bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman F1 yang benar-benar premium, Main Grandstand merupakan pilihan paling ideal. Kawasan ini terletak betul-betul berhadapan laluan utama litar sekali gus memberikan pemandangan yang sangat jelas terhadap pelbagai detik penting sepanjang perlumbaan.
Dari tempat duduk ini, penonton boleh menyaksikan permulaan perlumbaan, garisan penamat, aktiviti keluar masuk pit, strategi pit stop setiap pasukan serta majlis penyampaian trofi selepas perlumbaan berakhir. Ringkasnya, hampir semua momen paling penting boleh dilihat tanpa perlu bergerak ke lokasi lain.
Selain itu, kawasan ini turut dilengkapi tempat duduk berbumbung yang memberikan keselesaan kepada penonton sekiranya cuaca panas atau hujan.
Harga pas tiga hari (MyKad): RM2,083.40
2. K1 Grandstand
Sekiranya anda gemar melihat aksi yang penuh dramatik sebaik sahaja lampu perlumbaan dipadamkan, K1 Grandstand boleh menjadi pilihan yang sangat berbaloi.
Terletak berhampiran Selekoh 1 dan 2, kawasan ini terkenal sebagai antara lokasi paling menarik kerana di sinilah kebanyakan perebutan kedudukan berlaku sebaik sahaja perlumbaan bermula. Penonton berpeluang melihat sendiri bagaimana pemandu melakukan brek pada kelajuan tinggi sebelum memasuki selekoh pertama, selain aksi memotong yang sering mencetuskan debaran.
Bagi peminat yang gemarkan perlumbaan penuh aksi sejak pusingan pertama, lokasi ini sememangnya antara pilihan terbaik.
Harga pas tiga hari (MyKad): RM1,386.00
3. F Grandstand
Jika anda lebih menghargai kemahiran pemandu mengendalikan jentera berprestasi tinggi, F Grandstand menawarkan sudut tontonan yang cukup menarik.
Grandstand ini menghadap kawasan Selekoh 7 dan 8 yang dikenali sebagai antara bahagian teknikal di litar Sepang. Di sini, penonton boleh melihat bagaimana setiap pemandu mengawal kelajuan, memilih garisan perlumbaan terbaik serta melakukan brek dengan tepat sebelum memasuki selekoh seterusnya.
Aksi kereta yang bergerak rapat antara satu sama lain juga sering berlaku di kawasan ini, menjadikannya lokasi yang cukup menghiburkan sepanjang perlumbaan berlangsung.
Harga pas tiga hari (MyKad): RM1,291.40
4. B & C Hillstand
Bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman menonton F1 tanpa perlu membeli tiket Grandstand, B & C Hillstand merupakan alternatif yang lebih menjimatkan.
Walaupun kedua-duanya berada di kawasan rumput (general admission), setiap lokasi menawarkan sudut tontonan yang berbeza.
B Hillstand memberikan pemandangan ke arah penghujung satu pusingan litar, melibatkan kawasan sekitar Selekoh 12 hingga 14. Penonton boleh melihat jentera memasuki beberapa selekoh terakhir sebelum kembali ke laluan utama.
Sementara itu, C Hillstand pula menawarkan pandangan lebih luas ke arah bahagian tengah litar termasuk Selekoh 9 hingga 11 serta laluan lurus belakang yang terkenal dengan kelajuan tinggi.
Dari segi kemudahan, C Hillstand mempunyai perlindungan berbumbung, manakala B Hillstand merupakan kawasan terbuka.
Harga pas tiga hari (MyKad): RM809.60
5. G Hillstand
Jika matlamat anda hanyalah mahu merasai sendiri suasana F1 di Sepang tanpa berbelanja besar, G Hillstand merupakan pilihan paling berbaloi.
Dengan harga hanya RM200 untuk pas tiga hari, peminat masih boleh menikmati pemandangan aksi di litar selain berpeluang menyertai pelbagai aktiviti dan hiburan yang berlangsung sepanjang acara perlumbaan.
Menariknya, kategori ini dikhaskan khas untuk pemegang MyKad. Ianya memberikan peluang kepada rakyat Malaysia menikmati pengalaman F1 pada harga yang sangat mampu milik.
Harga pas tiga hari (MyKad): RM200.00
Semua harga yang dipaparkan termasuk cukai, manakala pembayaran akan diproses mengikut kadar pertukaran mata wang semasa ketika transaksi dibuat.
Selain itu, keluarga yang bercadang membawa anak-anak menyaksikan perlumbaan turut menerima berita baik.Kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun layak menikmati diskaun sebanyak 25 peratus bagi kategori tiket yang layak, kecuali G Hillstand. Manakala kanak-kanak berumur bawah tiga tahun pula boleh memasuki litar secara percuma.
Cara beli tiket F1 GP Bahrain di Sepang
Bagi yang sudah bersedia untuk merasai sendiri pengalaman menyaksikan perlumbaan Formula 1 secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang, pembelian tiket boleh dilakukan secara dalam talian melalui saluran rasmi yang disediakan.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket menerusi Official F1 Ticket Store atau laman web rasmi Bahrain International Circuit (BIC). Kedua-dua platform ini menawarkan pembelian tiket mengikut kategori tempat duduk yang dipilih serta memaparkan maklumat lengkap mengenai perlumbaan.
Pembelian tiket boleh dibuat melalui pautan berikut:
Official F1 Ticket Store: Official F1 Ticket Store
Bahrain International Circuit (BIC): Bahrain International Circuit
Memandangkan perlumbaan Formula Satu kembali ke Sepang selepas sekian lama, permintaan dijangka tinggi. Jadi, peminat yang sudah mempunyai zon pilihan disarankan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kategori tempat duduk pilihan habis dijual.
Secara keseluruhannya, pemilihan tempat duduk sebenarnya bergantung kepada pengalaman yang anda inginkan. Jika mahu melihat keseluruhan kemeriahan perlumbaan termasuk pit stop dan podium, Main Grandstand merupakan pilihan terbaik.
Baca juga:
Bantuan RM2,400 KPT Untuk Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti, Semak Kelayakan
Nampak Elok Tapi Bahaya, 6 Kerosakan Bunga Tayar Ramai Tak Sedar
Bagi mereka yang gemarkan aksi memotong dan perebutan kedudukan sebaik sahaja perlumbaan bermula, K1 Grandstand menawarkan pemandangan yang sukar ditandingi. Jika lebih berminat menyaksikan kemahiran teknikal pemandu ketika mengendalikan jentera, F Grandstand pastinya memberikan pengalaman yang memuaskan.
Sementara itu, B & C Hillstand sesuai untuk peminat yang mahu berjimat tetapi masih menikmati pemandangan yang luas di beberapa bahagian litar. Bagi yang sekadar ingin merasai suasana perlumbaan Formula Satu buat kali pertama tanpa mengeluarkan belanja besar, G Hillstand sememangnya pilihan paling berbaloi.
Apa jua pilihan anda, kepulangan Formula Satu ke Sepang pastinya menjadi detik yang dinanti-nantikan oleh peminat sukan permotoran di Malaysia. Dengan pelbagai pilihan harga serta lokasi tontonan, kini terpulang kepada anda untuk memilih pengalaman F1 yang paling sesuai mengikut bajet dan gaya menikmati perlumbaan.






