
MONZA – Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton menggesa pengurusan pasukan itu supaya mengubah cara komunikasi selepas didakwa menjadi punca mereka gagal memenangi Grand Prix (GP) Itali di Litar Monza Ahad lalu.
Lebih malang, Hamilton dan rakan sepasukan, Charles Leclerc bersaing sesama sendiri pada awal perlumbaan sehingga menyebabkan pelumba Perancis itu terbabas dan gagal meneruskan saingan.
Hamilton nyata berang dengan situasi tersebut, lebih-lebih lagi mereka memiliki peluang cukup baik kerana memulakan perlumbaan di barisan kedua, namun faktor komunikasi meranapkan harapan Ferrari.
“Buat pengetahuan anda semua, saya tidak pernah berlumba secara kotor. Saya sentiasa berlumba dengan adil selain meninggalkan ruang kepada pelumba lain, jadi tidak perlu bimbang mengenai saya.
“Saya menyertai pasukan dan cuba menghormati setiap orang, bukannya merosakkan keharmonian. Soal keputusan pasukan, anda semua boleh bertanya kepada Fred Vasseur (ketua pasukan),” katanya yang sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
Pada masa sama, juara dunia tujuh kali itu turut menjadikan Mercedes sebagai contoh terbaik apabila kedua-dua pelumbanya, Kimi Antonelli dan George Russell menghormati keputusan pasukan walaupun sedang bersaing merebut kejuaraan dunia.
“Akhir sekali, setiap keputusan itu perlu datang dari pengurusan tertinggi. Sudah beberapa kali saya berikan cadangan supaya kami memperbaiki cara berkomunikasi sebagai pasukan,” ujar Hamilton. – AGENSI
The post F1: Komunikasi lemah punca Ferrari gagal appeared first on Kosmo Online.


