
LONDON – Max Verstappen mengakui dirinya lebih rela untuk bersara daripada Formula Satu (F1) berbanding menyertai pasukan lain sebelum membuat keputusan melanjutkan kontrak bersama Red Bull sehingga penghujung 2030.
Juara dunia empat kali itu mengesahkan lanjutan kontrak berkenaan selepas masa depannya dalam F1 menjadi tanda tanya susulan perubahan besar peraturan enjin yang diperkenalkan musim ini.
Verstappen sebelum ini meluahkan rasa kecewa terhadap karakter jentera baharu yang memerlukan pengurusan tenaga bateri secara berterusan sehingga menjejaskan kuasa ketika perlumbaan, terutama di litar berkelajuan tinggi.
Selepas GP Jepun, dia malah mengakui tidak pasti sama ada masih mahu meneruskan karier dalam F1 atau menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakan sekiranya sudah tidak lagi menikmati perlumbaan.
Bagaimanapun, perubahan terhadap peraturan enjin dalam tempoh dua tahun akan datang, termasuk peningkatan penggunaan kuasa enjin pembakaran dalaman, membantu meyakinkannya bahawa F1 masih mempunyai masa depan yang menarik.
“Saya cintakan perlumbaan. Selepas beberapa perlumbaan awal musim, saya memberitahu Laurent Mekies supaya tidak bertanya mengenai masa depan kerana saya sendiri tidak tahu sama ada mahu terus kekal,” katanya.
Verstappen turut mempunyai pilihan untuk berpindah apabila Mercedes dan McLaren antara pasukan yang dikaitkan dengan juara itu, namun hubungan baiknya dengan Red Bull serta kebebasan untuk menyertai perlumbaan lain menjadi antara faktor utama dia memilih untuk kekal.
Red Bull juga membenarkan Verstappen meneruskan aktiviti perlumbaan di luar F1, selain hubungan terbuka dan telus bersama prinsipal pasukan, Laurent Mekies, yang menguatkan keputusannya untuk meneruskan kerjaya bersama pasukan itu. – AGENSI
The post F1: Verstappen pilih kekal di Red Bull appeared first on Kosmo Digital.

